Monolog musafir pulang dari HPU914

- Advertisement -

PIAGAM di antara PAS dan Umno telah termeterai pada tanggal 14 September 2019. Pesanan daripada Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid bin Hamidi, “Lupakanlah kisah-kisah silam yang pahit”.

- Advertisement -

Ahli-ahli Umno dan PAS berduyun-duyun datang dari pelbagai pelosok tempat di serata Malaysia bagi menyaksikan dekri perjanjian kedua-dua parti terbesar di Malaysia ini ditandatangani.

Di dalam perjalan pulang, seorang tua menyapa saya di pintu Stesen LRT PWTC. Apabila saya menoleh, rupa-rupanya Pakcik Latif dari Kg Aman, Tasek Gelugor, Pulau Pinang telah tiba di bumi Kuala Lumpur sejak awal subuh pagi tadi bagi menyaksikan majlis menandatangani yang bersejarah di tanah air Malaysia ini.

Di dalam LRT, Pakcik Latif, 65 tahun, duduk di sebelah seorang ahli Umno veteren, Pakcik Yaziz Manaf, 65 tahun, yang telah lama menetap di sekitar Kuala Lumpur sejak tahun 1977. Kedua-duanya bertukar-tukar cerita mengenai perjuangan parti masing-masing sejak zaman dahulu lagi.

Sebelum sampai di stesen persinggahan masing-masing, Pakcik Yaziz mengeluarkan wang RM10 lalu dimasukkan ke dalam poket baju Pakcik Latif, “Inilah sumbangan saya terhadap saudara se-Islam demi penyatuan ini”.

Tiba-tiba perasaan sebak melanda naluri saya. Ucapan Presiden PAS, Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi bin Awang di PWTC sebentar tadi, “Janganlah kita berpecah lagi selepas ini dan kekalkan Islam memimpin perpaduan di Malaysia”, telah masuk ke lubuk sanubari warga-warga yang menyintai penyatuan yang sangat murni ini.

Inilah nikmat persaudaraan yang dipupuk oleh kedua-dua parti terbesar di Malaysia ini. Kita sangat berkeyakinan bahawa nilai yang dipupuk berlandaskan nilai-nilai Islam ini akan terus mekar di bumi tercinta ini. Inilah kemuncak keakraban Piagam Muafakat Nasional di kalangan rakyat Malaysia tercinta! – HARAKAHDAILY 14/9/2019

- Advertisement -