HPU914: PAS, Umno paling banyak titik persamaan

t1
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penyatuan ummah yang mengandingkan PAS dan Umno bersatu bergandingan membentuk sebuah perjanjian dilihat sebagai suatu langkah yang relevan memandangkan kedua-dua parti tersebut mempunyai titik persamaan yang paling banyak selain kedua-duanya merupakan parti terawal yang terlibat dalam perjuangan kemerdekaan dan ketika kemerdekaan dicapai.

- Advertisement -

Menurut Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam ucapannya bersempena kejayaan penyatuan ummah tersebut, berkata titik persamaan tersebut telah berjaya meletakkan asas yang penting dalam Perlembagaan Malaysia iaitu kedudukan Islam, hak-hak agama lain, hak-hak Bumiputera, Bahasa Kebangsaan, hak bermasyarakat majmuk dan seterusnya.

Katanya, pertembungan yang berlaku sebelum ini hanyalah beberapa salah faham dalam perkara cabang yang bersifat teknikal dan perbezaan pendekatan yang bukanlah tidak normal.

“Pertembungan hanya dalam perbezaan pendekatan dan salah faham dalam perkara cabang yang bersifat teknikal,maka dalam menghadapi cabaran yang lebih besar, kita wajib bersatu dalam perkara dasar dan asas, dan boleh bertolak ansur dalam perbezaan, serta bermaaf-maafan dalam pertembungan,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan bersempena Himpunan Penyatuan Ummah yang berlansung sejak semalam di Putra World Trade Centre (PWTC) , di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Marang itu menjelaskan bahawa Islam mengajarkan konsep persaudaraan dan silaturrahim dalam sesebuah keluarga dan bangsa didahulukan, kemudian ia disusuli dengan menjaga hubungan kemanusiaan yang bermasyarakat madani walaupun bersifat majmuk dari sudut agama dan bangsa, bagaimanapun, Islam juga menuntut kewajipan bermasyarakat dalam memakmurkan bumi megikut ketentuan Allah SWT.

Memberi contoh, beliau memetik sepotong ayat Al-Quran dari Surah An-Nisa’ ayat yang pertama yang membawa maksud, “Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya- zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat, kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu”.

Himpunan Penyatuan Ummah hari ini menyaksikan dua parti politik terbesar di Malaysia bersatu untuk menetapkan hala tuju negara yang lebih baik setelah 50 tahun kedua-dua parti itu membawa haluan masing-masing yang mana kedua-duanya pernah berada di dalam satu bahtera suatu ketika dahulu. – HARAKAHDAILY 14/9/2019

- Advertisement -