HPU914: Jangan langgar sempadan lampu merah

t5
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jangan sesekali melanggar sempadan lampu merah, kalau dinyalakan jangan dirempuh, kalau dirempuh parah padahnya, demikian peringatan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

- Advertisement -

Beliau mengingatkan terhadap usaha pihak tertentu yang cuba merungkai usaha yang dimulakan oleh pemimpin terdahulu yang bersusah payah mendapatkan kemerdekaan untuk negara ini.

“Kita hanya menyambung apa yang telah dimulakan oleh para pemimpin pertama ketika mencapai kemerdekaan, yang telah berjaya meletakkan asas negara Malaysia dalam Perlembagaan.

“Asasnya dengan mengambil kira perjuangan kemerdekaan menentang penjajah yang merampas tanah air ini dimulakan oleh orang Melayu Bumiputera, sebelum kedatangan kaum lain yang juga dipaksa oleh penjajah.

“Tanpa menafikan para pemimpin semua kaum juga terlibat dalam perjuangan kemerdekaan,” ucapnya sambil mengingatkan penglibatan Umno, PAS, MCA dan MIC menggubal Perlembagaan Persekutuan dalam Pilihan Raya Pra Kemerdekaan 1955.

Tambahnya, pemimpin hari ini sepatutnya membaiki kelemahan yang ada ke arah yang lebih baik.

Beliau memetik perumpamaan Melayu yang menyebut ‘laksana tikus membaiki labu’, labunya rosak tidak boleh dimakan, kerana tikus ada kuman dan air kencing yang terkenal berbahaya.

Oleh itu, katanya semua kaum tidak perlu risau dengan Himpunan Penyatuan Ummah yang dianjurkan oleh PAS dan Umno.

“Dengar, faham dan lihat dahulu sebelum membuat apa-apa kenyataan yang menghukum dengan kefahaman yang salah,” katanya.

Ahli Parlimen Marang itu juga menyuarakan kebimbangan sikap keberanian melulu kalangan parti politik dan individu yang mencabar kedudukan Islam, hak istimewa orang Melayu Bumiputera dan Raja-raja Melayu.

Katanya, sikap mencabar ini boleh mencetuskan ketegangan antara kaum yang selama ini dipelihara.

“Begitu juga kalangan orang Islam sendiri yang hilang jati diri Islam dan Melayu kerana laksana tikus kekenyangan dalam kepuk padi atau semut yang bergelimpangan dalam gula.

“Mereka ini turut sama berperanan merosakkan konsep dominasi kaum yang memimpin bersama Islam.

“Rakyat pelbagai kaum hendaklah menolak ‘makhluk perosak’ ini dalam pilihan raya yang akan datang!” tegasnya. – HARAKAHDAILY 14/9/2019

- Advertisement -