Ada apa dengan penyatuan ummah?

- Advertisement -

PERSEFAHAMAN Penyatuan Ummah oleh Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno) dan Pertubuhan Islam Se-Malaysia (PAS) pada Sabtu pasti akan dikenang sebagai antara detik penting sejarah negara.

- Advertisement -

Bagi umat Islam di Malaysia, detik ini sama pentingnya dengan kebangkitan masyarakat peribumi Melayu Islam menentang Malayan Union pada tahun 1945-46. Cadangan British mahu memperkenalkan Malayan Union pada masa itu dilihat akan memperkecilkan kedudukan agama Islam, masyarakat peribumi, bahasa Melayu dan Raja-Raja Melayu.

Justeru tunjuk perasaan secara besar-besaran di seluruh tanah Melayu telah diadakan bagi membantah cadangan Biritish tersebut. Antara tunjuk perasaan terawal dan besar dianjurkan ialah oleh Persatuan Melayu Kelantan (15 Disember 1945), Persatuan Melayu Kedah (19 Januari 1946), Orang-orang Melayu Johor (10 Februari 1946) dan puluhan tunjuk rasa lain di seluruh Tanah Melayu dan Singapura.

Berikutan kesedaran tersebut, Dato’ Onn Jaafar dan Persatuan Melayu Selangor telah menganjurkan Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu (KMTM) pertama pada 1-4 Mac 1946. KMTM telah bejaya mengumpul sekitar 107 orang ulama dan pemimpin Melayu dari 41 buah pertubuhan di Tanah Melayu dan Singapura.

Perhimpunan bersejarah itu telah berlangsung di Padang Kelab Sultan Sulaiman, Selangor dan menjadi titik tolak kesedaran orang Melayu untuk mempunyai sebuah parti politik, bagi menjaga kepentingan agama Islam, orang Melayu, bahasa Melayu dan Raja-raja Melayu.

Hasil kongres pertama membawa kepada KMTM ke-2 pada penghujung Mac 1946. Kongres pertama dan kedua ini merupakan satu usaha bersepadu orang Melayu menentang penjajahan Inggeris terutamanya cadangan pembentukan Malayan Union.

Akhirnya kongres memutuskan untuk menubuhkan sebuah parti politik Melayu, maka lahirlah Umno sebagai satu-satunya wadah utama politik orang Melayu menentang Bristih. Hanya beberapa tahun kemudian, setelah British menarik balik cadangan Malayan Union, orang Melayu mula berpecah dan akhirnya tertubuhlah PAS.

Sesuatu yang perlu kita sentiasa ingat ialah walau apapun perselisihan dan perbezaan kedua-dua parti ini, kita pernah bersatu atas kepentingan agama Islam dan demi melindungi identiti asal tanah ini.

Piagam ini penting termeteri, apabila selepas PRU ke-14 kedudukan agama Islam, masyarakat peribumi, bahasa Melayu dan Raja-Raja Melayu semakin terancam.

Justeru, piagam Umno-PAS kali ini merupakan satu pembugaran (rejuvenating) idealisme perjuangan masyarakat Islam di negara ini yang berakar umbi sejak sebelum merdeka lagi.

Percayalah kerjasama ini, sama seperti kesepakatan 1946, tidak akan menindas atau meninggalkan mereka yang bukan Islam.

PAS pernah bekerjasama dengan DAP manakala Umno mempunyai rakan kongsi bukan Islam seperti MCA dan MIC. Justeru tidak timbul piagam ini satu ancaman kepada bukan Islam.

Ini bukan andaian semata-mata tetapi merupakan jaminan oleh Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, dalam ucaptama pelancaran Piagam Penyatuan Ummah, Sabtu. Haji Hadi menegaskan Islam tidak membenarkan kezaliman ke atas mana-mana bangsa atau bukan Islam dan sentiasa menghormati kebebasan beragama seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Malaysia. Kita berdoa agar muafakat ini berterusan tanpa kecurigaan antara satu sama lain. – HARAKAHDAILY 14/9/2019

Penulis ialah mantan Ahli Parlimen Sungai Besar.

- Advertisement -