UMT dengan Unisza

- Advertisement -

UMT dahulu dikenali sebagai Kustem. Dan lama sebelum itu ia adalah UPM Cawangan Terengganu. Sementara itu belum nama Unisza, ia adalah Universiti Darul Iman dan pada mula penubuhannya dikenali sebagai Kolej Sultan Zainal Abidin (KUSZA).

- Advertisement -

Ketika diawal rancangan penubuhannya, PAS tidak bersama BN dalam kerajaan sekitar akhir tahun 70-an. Penubuhan Kusza, pada tahun sekitar 80, dikatakan menepati kehendak bagi memenuhi Terengganu dengan ilmuan. Kaedah pembelajaran yang digunakan benar-benar berkesan bagi melahirkan ulamak. Mahu tidak mahu, kita kena berterima kasih kepada mantan MB Terengganu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad.

Ada antara pensyarah Kusza yang dijemput Tan Sri, datang dari pondok Patani, selain daripada Tok-tok Guru tempatan. Kata bijak pandai, ulamak lulusan Kusza, kurang mahir dengan kertas kerja dan pentadbiran, tetapi sangat hebat serta menguasai dengan mendalam kaedah menyebarkan ilmu.

Kusza terus dikenali sebagai pusat pengajian Islam, selain daripada turut memperkenalkan jurusan-jurusan lain mengikut peredaran zaman. Pelajar-pelajar mereka sangat sopan, jarang didengari berkelakuan sumbang. Ia terus kekal begitu untuk sekian lama, menerima penghormatan dari masyarakat Terengganu yang juga diketahui kuat beragama.

Ketika pemerintahan PAS 1999-2004, ada salah maklumat yang diterima, iaitu Kusza ialah sarang bagi melahirkan pimpinan-pimpinan PAS yang kemudiannya bertebaran ke seluruh dunia, sama ada menyambung pelajaran mahupun berkhidmat. Mereka sangat ramai dan berjaya terutama dalam bidang agama. Ia sebenarnya, bukan sarang, tetapi kecenderungan orang PAS ialah mencari ilmu agama. Jadi Kusza tempat sesuai bagi mereka.

Dan apabila PAS kalah pada tahun 2004, BN telah mengambil langkah drastik bagi mematikan apa yang mereka anggap pusat perkaderan PAS ini dengan menyerahkannya kepada Kerajaan Pusat untuk dinaik tarafkan sebagai universiti, sesuai dengan janji mereka kepada rakyat, untuk menubuhkan universiti baharu di Terengganu. Selepas itu pelajar Kusza yang ditukar nama itu, tidak lagi dihormati kerana banyak kes-kes yang tidak enak didengari.

Jadi walaupun PAS tidak senang dengan tindakan BN itu, tetapi masih boleh bersetuju menimbangkan ia sebagai kemajuan iaitu menubuhkan universiti daripada kolej. BN juga menjadikan UMT sebagai universiti. Kita ada dua buah. PAS pula sekarang terlibat aktif dalam melaksanakan manifesto untuk penubuhan kembali Kusza sama seperti dahulu, walaupun ada sedikit sebanyak perdebatan di DUN dengan BN pada zaman dahulu.

Tetapi sekarang ia mahu dikecilkan daripada dua buah universiti yang sudah lama bertapak menjadi satu oleh kerajaan PH. PAS dan Umno sekarang, bersatu menolak cadangan ini. Mungkin ramai yang tidak faham tetapi saya rasa saya ada jawapan.

Saya berpandangan ini adalah antara jasa baik kerajaan PH kerana PH tahu, dan memahami bahawa ramai rakyat Malaysia marahkan PH kerana tidak menghapuskan pinjaman PTPTN bagi pelajar-pelajar, malah mengenakan syarat yang lebih ketat dan jauh menyimpang dari janji mereka dahulu.

Jadi lebih baik mereka mengecilkan jumlah universiti, yang mana secara tidak langsung, akan mengurangkan pelajar yang boleh masuk universiti, mengurangkan risiko pinjaman PTPTN tidak dibayar, menjauhkan rakyat dari dosa memaki kerajaan, melegakan kerajaan kerana dapat mengurangkan belanja iaitu mungkin dengan pengurangan kakitangan dan belanja mengurus yang lain. Sekali gus, tidak membebankan rakyat marhaen.

Jadi, kita kena berkorban, kerajaan PH sedang bergelut dengan keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu, ditambah lagi kempen BMF yang sangat dahsyat, menggoncang ekonomi negara, menyebabkan kerajaan terpaksa menjual rumah-rumah kepada warga Hong Kong dan banyak lagi. Anda tidak patriotik jika hanya tahu komplen tanpa membantu kerajaan PH.

Bagi PH ini adalah perkara kecil yang tidak perlu dipolemikkan. Sebab itu, mereka hanya diam kerana mereka tahu, mereka sudah melakukan yang terbaik kepada rakyat. Mereka juga diam bagi isu penjualan IC dan sijil kelahiran, kerana kes sedang dibicarakan.

Mereka sangat bimbang kepada jumlah bunting yang akan dipasang bagi Program Penyatuan Ummah PAS-Umno. Mereka juga bimbang dengan kempen BMF, juga isu Amanat Haji Hadi. Sebab itu mereka segera mengeluarkan kenyataan balas supaya isu-isu yang menggugat negara ini, akan dapat dihapuskan. Harap anda semua memahaminya.

MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 13/9/2019

- Advertisement -