HPU914: Talkin kesedaran untuk seluruh rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Keputusan PRU14 lalu diluar jangkaan hingga PAS yang menjangka untuk menawan 40 kerusi sebagai ‘King Maker’ telah ‘tertiarap’, manakala Umno menjangka boleh menguasai dua pertiga Parlimen telah ‘tertungging’.

- Advertisement -

Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad menyingkap betapa senario politik yang berlaku itu telah menghikmahkan jalinan penyatuan ummah antara PAS dan Umno hingga tanggal 13 dan 14 September memeterai piagam bersama.

Walaupun dengan nada seloroh mengutarakan keadaan teruk demikian, beliau tetap mengakui bahawa takdir itu menginsafkan dan untuk Allah mengampukan kesilapan dosa hamba-hamba-Nya.

“Kalaulah hari ini Umno masih berkuasa, saya malam ini tak pijak PWTC. Mungkin malam ni ceramah bagi ‘Assalamualaikum’ (kemudian terus) kata pada Umno.

“Umno pula (mungkin) malam ini ceramah kata pada PAS. Tetapi dengan nikmat disebalik kekalahan ini, ia membolehkan kita duduk sepentas dan duduk sama-sama,” ujarnya pada ceramah sempena Himpunan Penyatuan Ummah di PWTC, di sini malam tadi.

Bekas Ahli Parlimen Bukit Gantang itu turut menyebabkan hadirin tidak lekang gusi dengan seloroh bersahaja disebalik isu-isu disentuh beliau mengenai politik semasa negara termasuk berdepan pihak yang memperlekeh PAS-Umno.

“Saya kata, Umno ni (sudah jadi) pembangkang. Mana ada negara demokrasi, pembangkang lawan pembangkang. Kalau gitu orang panggil ‘masuk air’. Dipertikai PAS lawan PH, saya kata PH tu kerajaan.

“Mana ada negara demokrasi pembangkang sokong kerajaan. Kalau ada itu namanya dia pembangkang ‘putus wayar’,” ujarnya terus berseloroh menceritakan pula perbezaan Pejabat PAS dan Umno.

Katanya, sejak dilahirkan dalam tong undi PAS, tiba-tiba diusia 56 tahun beliau naik bangunan Umno yang serba canggih hingga lif pun tidak perlu ditekan, tetapi lif Pejabat PAS selalu rosak.

Lebih mencuit hati hadirin, Ustaz Idris turut mengakhiri ceramahnya itu dengan selorohnya membacakan talkin buat kesedaran seluruh rakyat terhadap pelbagai nasib sedang dihadapi dari politik negara ketika ini.

“Wahai rakyat Malaysia, jika datang pimpinan PH, janganlah kami merasa takut dan gentar, kerana mereka adalah manusia biasa seperti kamu. Maka jawablah dengan lidah yang fasih dan lancar.

“Sesungguhnya tol tidak dihapuskan itu benar, sesungguhnya PTPTN tidak dimansuhkan itu benar, sesungguhnya harga minyak tidak diturunkan itu benar, sesungguhnya harga barang makin mahal itu benar.

“Sesungguhnya BR1M anak muda dikurangkan dari RM450 kepada RM100 itu benar. Sesungguhnya harga sawit harga getah semakin jatuh itu adalah benar, sesungguhnya kasut hitam itu benar. Sesungguhnya AES tidak dihapuskan itu benar.

“Dan sesungguhnya SST ganti GST harga barang tidak turun itu benar dan akhir sekali sesungguhnya tanam malin tidak menjadi, ada yang cadang tanam ganja itu juga benar,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 14/9/2019

- Advertisement -