HPU914: Rakyat ternanti isi Piagam Muafakat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menyifatkan rakyat ternanti-nanti pengisian Piagam Muafakat antara PAS dan Umno yang diharap akan mengisi kelompongan Kerajaan PH.

- Advertisement -

Namun, Pengerusi UMMAH, Aminuddin Yahya turut mengingatkan agar penyatuan ini tidak mengulangi kesilapan Kerajaan BN terdahulu, disebalik rakyat begitu teruja dengan agenda dibawa kedua-dua parti ini.

Pun begitu peringatnya, perkara lebih kritikal ialah pengisian dan agenda ingin dibawa kedua-dua parti itu, kerana umum mengetahui bahawa kekalahan BN disebabkan kelompongan yang ada.

“Sama ada kita setuju atau tidak, itu adalah satu hakikat. Namun apabila kita lihat kerajaan baru hari ini bukan saja lompong, tetapi bagi saya sudah bocor segala-galanya, sudah hancur segala-galanya. Kalau boleh saya istilahkan, bahawa kerajaan hari ini bukan kerajaan orang Melayu lagi.

“Ia kerajaan orang lain, agenda orang lain. Kerana saya tengok pimpinan Melayu tiada apa-apa agenda. Berbeza dengan DAP, mempunyai agenda macam-macam, sama ada orang Melayu setuju ataupun tidak itu terpulang,” katanya.

Sementara itu tambahnya, rakyat telah menyaksikan apabila BN diberi mandat selama 60 tahun, kedudukan orang Melayu masih terkebelakang.

“Pendapatan isi rumah Melayu masih tercorot berbanding Cina dan India. 59 peratus orang Melayu miskin. Kenapa ini berlaku? Pencapaian dari segi ekonomi, target 30 peratus tapi kini tak sampai 20 peratus. Kenapa perkara ini boleh berlaku?

“Jadi saya ternanti-nanti apakah piagam yang akan dikeluarkan nanti. Apakah piagam ini akan menjawab kelompongan, kebobrokan yang ada pada kerajaan hari ini, ataupun ia hanya mengulangi apa yang ada dahulu? Saya harapkan ianya segar dan inklusif,” katanya.

Justeru itu katanya, kebanyakan orang Melayu terutama anak muda menyatakan bahawa mereka meletakkan harapan yang cukup tinggi terhadap penyatuan ini.

“Tetapi mereka memberi amaran jika ini gagal, kemungkinan besar mereka akan ‘give up’ dengan politik. Siapa yang memerintah mereka dah tak kisah. Ini sangat bahaya.

“Dalam konteks survival orang Melayu, dalam konteks memartabat agama Islam yang mana kita tahu hari ini, hari-hari Islam dihina,” ujarnya memberi peringatan. – HARAKAHDAILY 13/9/2019

IMG 20190913 WA0046

- Advertisement -