HPU914 menjurus kepada penyatuan rakyat

- Advertisement -

MARANG: PAS dan Umno yang berhimpun dan kemuncaknya kedua-dua pemimpin parti Melayu terbesar dalam negara ni akan menyampaikan ucaptama masing-masing di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

- Advertisement -

Justeru, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan rakyat umumnya agar tidak perlu bimbang dengan perhimpunan itu.

Katanya, perhimpunan itu bagi menyatukan orang Melayu yang menjadi majoriti penduduk di Malaysia perlu disatukan.

“Ini (perhimpunan) lebih menjurus kepada penyatuan rakyat. Rakyat khususnya, orang Melayu yang populasi penduduk Malaysia yang perlu disatukan mereka.

“Dalam masa yang sama tidak mengenepikan masyarakat majmuk di negara ini yang telah wujud. Dengan sebab itu, semua pihak tidak perlu bimbang dengan perhimpunan esok. Tidak ada sifat perkauman, cuma kita buat acuan kita sendiri.

“Acuan yang diajar oleh Nabi kita Muhammad SAW. Nabi memulakan penyatuan umat dengan orang Arab dahulu. Selepas itu, barulah ajak kaum lain bersama dengannya Islam. Sama ada mereka masuk Islam atau berada di bawah kepimpinan orang Islam,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Kuliah Dhuha di Masjid Rusila, hari ini.

Katanya, penyatuan itu berasaskan titik persamaan antara PAS dengan Umno, sejak negara mencapai kemerdekaan dahulu dan difahami oleh parti-parti yang ada di masa itu iaitu MCA dan MIC.  

Ketika ditanya, penyatuan itu tidak disenangi oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH), kata beliau reaksi itu tanda kegelisahan dan ‘ketakutan’ pimpinan PH.

“Itu menandakan kegelisahan yang berlaku dan ‘ketakutan’, tak perlu takut sebenarnya. Dalam negara demokrasi kita bebas untuk mengambil langkah-langkah yang mengikut saluran undang-undang.

“Sepatutnya, kita gembira dengan penyatuan ini. Ini kerana, banyak parti akan banyak rakyat berpecah, dan dengan gabungan ini rakyat semakin bersatu.

“Jangan kita takut (kehilangan) kuasa kita tapi kita kena takut tanggungjawab kepada rakyat, itu yang penting,” jelasnya.

Himpunan Penyatuan Ummah antara PAS dan Umno itu akan mencipta sejarah negara, berlaku selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu, yang menyaksikan Kerajaan BN hilang kuasanya sejak 60 tahun memerintah negara. – HARAKAHDAILY 13/9/2019

- Advertisement -