HPU914: Asas penyatuan ialah ‘tali Allah’

fadli shaari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ahmad Fadhli Shaari berkata asas kepada apa jua penyatuan dan perpaduan ialah ‘tali Allah’.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian ketika berucap sesi ‘townhall’ dan muzikal ummah bersama Pergerakan Pemuda Umno Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Menurutnya, PAS dan Umno tidak mungkin dapat bersatu di atas apa jua persefahaman dan apa jua ‘tali’.

“Hari ini ada orang yang buat ramalan bahawa perkahwinan antara PAS dan Umno tidak mungkin bertahan lama kerana tidak tahu siapa suami dan siapa isteri.

“Kita pun nak tanya antara PKR dan DAP siapa suami dan siapa isteri.

“Apa yang penting sebagai umat Islam, kita mesti mengetahui aspek penyatuan perpaduan ini hendaklah berada di atas ‘tali Allah’.

“Umno membuka salam kepada PAS dan PAS membuka salam kepada Umno di atas dasar untuk sama sama mematuhi perintah Allah,” katanya.

Tambah beliau, dua hari lepas genap 18 tahun berlakunya serangan 11 September di Washington.

“Hal ini menunjukkan bahayanya politik persepsi dan politik fitnah hasil daripada serangan 11 September 2001 yang sehingga sekarang tiada siapa yang bertanggungjawab.

“Tetapi hasil daripada itu, jatuhnya dua buah kerajaan iaitu Iraq dan Afganistan.

“Alasannya adalah untuk mencari senjata pemusnah yang sampai hari ini tidak berjaya ditemui,” ujarnya.

Selain itu, beliau menegaskan bahawa PH hari ini menang kerana fitnah.

“Kepada PAS dituju seolah-olah menerima RM90 juta daripada Umno yang sehingga sekarang tidak dapat dibuktikan.

“Ini lah realiti yang berlaku pada hari ini dimana kerajaan yang berdiri di atas dasar fitnah tidak akan bertahan lama,” katanya.

Menurut beliau, PH tidak akan bertahan lama kerana paling tinggi hanyalah satu penggal sahaja.

Beliau mempersoalkan apa yang nak dibanggakan dengan PH kerana jika dari sudut ekonomi, hutang negara semakin bertambah.

“Angka bank negara secara rasmi menyatakan bahawa pada enam bulan pertama 2019, Pakatan Harapan telah menambahkan hutang sebanyak RM58 billion.

“Apa yang nak dibanggakan dengan PH jika matawang negara hari ini 1 dolar Amerika bersamaan dengan RM4.10,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 13/9/2019

- Advertisement -