UMT, UniSZA: Jalan singkat kerajaan hadap masalah

takiri1
- Advertisement -

SAYA membantah penggabungan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). Kedua-dua universiti dengan fokus berbeza ini mesti dikekalkan sebagai institusi yang tersendiri dengan matlamat dan falsafahnya masing-masing.

- Advertisement -

Saya juga kesal dengan pendirian Pengerusi Lembaga Pengarah UMT dan Naib Canselor UniSZA yang menyatakan sokongan terhadap keputusan Jemaah Menteri mengenai penggabungan ini dan membelakangkan suara para kakitangan, pelajar dan alumni universiti mereka sendiri.

Sepatutnya, kedua-dua universiti yang ditransformasikan sejak 2007 (KUSTEM kepada UMT) dan 2010 (UDM kepada UniSZA) yang sedang berkembang dalam tempoh 9 hingga 12 tahun ini dipacu prestasinya dengan lebih berkesan oleh Kerajaan menerusi pelbagai inisiatif dan insentif; seperti memperkenalkan formula pendanaan yang baharu dan menubuhkan tabung wakaf.

Mengguna pakai kaedah penggabungan dengan justifikasi dan unjuran yang tidak jelas adalah pendekatan “jalan singkat” Kerajaan menghadapi masalah dan cabaran dalam menguruskan kedua-dua universiti ini tanpa menghiraukan implikasi yang lebih besar pada masa hadapan. Ia juga menunjukkan Kerajaan seperti tidak mempunyai sebarang harapan besar terhadap kedua-dua universiti ini.

Saya juga mahu mempersoalkan, mengapa kedua-dua universiti di negeri penduduknya majoriti Melayu ini dijadikan sasaran pertama? Mungkinkah selepas ini Universiti Teknologi MARA (UiTM) pula turut digabungkan dengan universiti-universiti lain dengan alasan yang sama seperti yang diberikan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi?

Sekiranya sudah tidak mampu menguruskannya, adalah lebih baik Kerajaan menyerahkan kedua-dua universiti ini kepada Kerajaan Negeri Terengganu atau memilikinya secara bersama dengan Kerajaan Negeri Terangganu atau agensi-agensinya. Ia lebih baik daripada menggabungkannya.

“Islam Memimpin Perpaduan”

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Khamis, 12 September 2019 | 12 Muharram 1441- HARAKAHDAILY 12/9/2019

- Advertisement -