Kategori golongan berhijrah dalam perjuangan Islam

- Advertisement -

PAYA BESAR: Ibrah dari sirah Hijrah Rasulullah S.A.W mengajarkan bahawa wujud beberapa kategori orang berhijrah dengan tujuan atau matlamat berbeza di mana ia menjadi pengajaran terhadap perkara dilalui jamaah pada masa kini.

- Advertisement -

Perkongsian itu diperincikan Timbalan Yang DiPertua PAS Kawasan Paya Besar, Ustaz Hazmi Dibok pada Ijtimak Bulanan Muslimat PAS Dun Panching di Balai Purnama, Kampung Chendering, di sini pagi semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Tarbiyah dan Pengkaderan PAS Negeri Pahang menerangkan, terdapat golongan benar-benar tidak mampu berhijrah, tetapi tetap mendapat pahala seperti golongan berhijrah.

Pun begitu katanya, kalangan tidak mampu itu juga terdapat mereka yang sebenarnya memberi alasan, selain terdapat pula golongan berhijrah tetapi tidak berjaya kerana meninggal dunia di perjalanan itu.

Namun jelas Ustaz Hazmi, mereka itu di sisi Allah tetap dikira mendapat kemenangan kerana setiap perbuatan dinilai pada usaha yang bersungguh-sungguh dan bukan pada hasilnya.

Terdapat juga terang beliau, golongan memang enggan berhijrah kerana lebih sayangkan harta dunia, selain golongan yang berhijrah tetapi tidak mendapat pahala hijrah kerana niatnya lain dari perintah Allah.

Turut menarik perhatian 48 anggota Muslimat pada kehadiran sesi kali ini adalah mengenai huraian perancangan dan strategi hijrah termasuk juga hal persaudaraan, peperangan dan penyebaran dakwah.

Sesi itu juga berlangsung dialog antaranya menyentuh mengenai hubungan PAS dan Umno di mana Ustaz Hazmi membawakan kisah Ikrimah Abu Jahal dari kehidupan jahatnya kepada mati syahid di jalan Allah.

Majlis juga menguar-uarkan mengenai Walimah Perdana Paya Besar pada hujung Oktober nanti dan membuka sumbangan bahan mentah antaranya ayam bernilai RM20 seekor di mana hasil pagi itu berjaya mendapat 33 ekor. – HARAKAHDAILY 12/9/2019

IMG 20190912 WA0046

IMG 20190912 WA0045

IMG 20190912 WA0043

- Advertisement -