Gabung UMT-UNISZA langkah ke belakang

- Advertisement -

SAYA belum menerima maklumat yang jelas berkenaan dengan penggabungan UMT dan UNISZA ini.

- Advertisement -

Ia kelihatannya seperti satu langkah ke belakang dalam mempromosikan Terengganu sebagai destinasi yang mempunyai pelbagai pilihan Universiti untuk pengajian tinggi. Bila kita gabungkan dua Universiti yang sudah sedia mencipta nama dengan kecemerlangan dalam pengkhususan tertentu, misalnya UMT yang menjadi tumpuan bagi kajian sains samudera, hidrografi dan UNISZA pula sinonim dengan kecemerlangan yang lain misalnya pengajian perubatan (Hospital UNISZA serba canggih sedang disiapkan) sudah tentu perencanaan pernyataan misi dan visi masing-masing serta perancangan korporat jangka panjang masing-masing perlu dirombak dan diubah suai.

Bagi rakyat Terengganu, akan ada rasa kecewa. Semasa kita serahkan Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) kepada Kerajaan Persekutuan, ia adalah dengan satu pemahaman yang Terengganu telah bertambah lagi satu universiti yang menjadi pilihan selain UMT dan UiTM. Dan masing universiti ini akan terus berkembang maju mencipta nama sebagai dua entiti universiti yang unggul di bumi Terengganu.

UNISZA sendiri masih mengekalkan nama Almarhum Sultan Zainal Abidin sebagai mengambil kesinambungan dari KUSZA yang asal yang pada asalnya menjadi milik kerajaan KDYMM Sultan Terengganu. Sekali pun karakter sebagai institusi pengajian pelbagai bidang dengan berteraskan persekitaran yang Islamik telahpun semakin pudar identitinya bila ia diserahkan kepada Persekutuan suatu ketika dahulu.

Bila ia digabungkan nanti dengan UMT, bagaimana pula falsafahnya nanti?

Masih adakah kelebihan tertentu untuk rakyat Terengganu dari segi kuota pengambilan pelajar atau peluang menjadi pensyarah, kakitangan universiti?

Saya difahamkan ia berkaitan dengan faktor kos pengurusan. Supaya cuma ada satu Lembaga, Senat, satu Canselor, Vice Canselor dan logik yang sebegitu.

Saya fikir kecemerlangan pendidikan tidak dapat tidak jangan sesekali cuba dipisahkan dengan komitmen yang jelas kerajaan untuk terus melabur dan sentiasa meningkat pelaburan dalam sektor pendidikan. Perlu ada peruntukan yang sentiasa dipertingkatkan untuk mengembangkan setiap universiti supaya meningkat satu tahap lagi.

Geran-geran penyelidikan dan pembangunan, kajian dalam bidang-bidang baru yang berpotensi untuk manfaat negeri, negara dan dunia secara keseluruhannya perlu terus dicari jalan penambahan nilai Ringgit pelaburan dan juga kualiti keberhasilan.

Ia jangan disamakan menguruskan entiti perniagaan dengan institusi universiti. Adakah kerajaan merancang pengurangan kakitangan besar-besaran melalui proses ini? Downsizing, Rightsizing?

Adakah ia sebahagian proses pengurangan kakitangan awam yang sedang diperkatakan?

YB HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Ahli Parlimen Kuala Terengganu
12 September 2019 – HARAKAHDAILY 12/9/2019

- Advertisement -