Perlu tindakan bersepadu tangani ceroboh tanah

- Advertisement -
PENEROKAAN tanah secara haram untuk pertanian oleh warga asing sering berlaku di negara kita. Baru-baru ini, akhbar tempatan telah mendedahkan kegiatan kira-kira 80 warga asing yang mengusahakan kebun secara haram di kawasan tanah hak milik kerajaan dan persendirian hampir 10 tahun yang lalu dengan anggaran keluasan 60 hektar. 
 
Walaupun isu ini telah diambil tindakan oleh pihak yang bertanggungjawab, namun saya berharap dalang yang terlibat dalam isu ini juga diambil tindakan yang setimpal.
 
Tindakan yang tegas perlu segera dilakukan sekiranya amaran yang diberikan tidak diendahkan. Kerajaan tidak perlu berlembut dengan kegiatan haram yang mereka lakukan tetapi hukuman yang berat perlu dikenakan ke atas kedegilan mereka.
 
Saya menyarankan kerjasama yang bersepadu terus diwujudkan bukan sahaja antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri tetapi juga agensi yang terbabit seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Tanah dan Galian dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan melakukan pemantauan ataupun operasi gerak-gempur bagi menangani pencerobohan tanah yang berlaku di negara kita. 
 
Di samping itu, Kerajaan juga perlu menyemak semula dasar yang sedia ada dengan merangka strategi secara komprehensif bagi membangunkan tanah yang terbiar untuk sektor pertanian secara optimum agar tidak sewenang-wenangnya dicerobohi oleh pendatang asing.
 
Apatah lagi, sekiranya para petani dan pekebun kecil memanfaatkan tanah terbiar yang dikelilingi semak-samun untuk dibangunkan, ia merupakan satu peluang selain meningkatkan pendapatan pekebun kecil, kebergantungan import makanan negara juga dapat dikurangkan.
 
“Islam Memimpin Perpaduan” 
 
YB CHE ALIAS HAMID
Ahli Parlimen Kemaman – HARAKAHDAILY 11/9/2019
- Advertisement -