Menteri jangan boikot beli barang Muslim Bumiputera

shaharizukarnain
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kesedaran kepenggunaan dalam kalangan masyarakat di negara ini untuk membeli barangan Muslim Bumiputera telah mendapat pelbagai reaksi daripada pimpinan parti komponen Kerajaan PH hari ini, kata Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir.

- Advertisement -

“Ironinya meskipun telah banyak kali dijelaskan bahawa kempen ini tidak bermaksud meminggirkan barangan bukan Muslim yang lain, apatah lagi memboikotnya, sekadar satu kesedaran untuk mengutamakan barangan daripada Muslim Bumiputera, masih ramai dalam kalangan pimpinan PH yang sengaja membawa naratif kempen ini sebagai suatu bentuk boikot terhadap barangan bukan Muslim,” ujarnya dalam kenyataan media.

Katanya, naratif yang bersifat negatif dan perkauman yang sengaja dihalakan terhadap kempen kesedaran kepenggunaan ini sewajarnya tidak perlu berbangkit.

Tambahnya, hal yang demikian bukan sahaja boleh mendorong perpecahan dalam masyarakat, bahkan ibarat menyimbah petrol ke dalam api perkauman yang tidak perlu.

Justeru, ujar beliau pimpinan PH dinasihatkan agar tidak cuba membawa satu perspektif negatif terhadap kempen ini.

“Tambahan lagi, saya turut mengharapkan pihak menteri juga tidak memboikot kempen membeli barangan Muslim Bumiputera ini hanya semata-mata disebabkan alasan yang tidak munasabah,” katanya lagi.

Hal ini, jelasnya kerana di sebalik tindakan mereka sering kali merujuk kempen membeli barangan Muslim Bumiputera ini sebagai suatu tindakan boikot, tanpa disedari mereka sendiri juga seolah-olah sedang ‘memboikot’ kempen tersebut. – HARAKAHDAILY 10/9/2019

- Advertisement -