Gesa tangani kerosakan paip bekalan air di Labuan

- Advertisement -
PAS Labuan mendapati prasarana bekalan air di Labuan sedang mengalami masalah yang agak serius dan sangat perlu dibaik pulih dengan cepat dan menyeluruh.
 
Banyak maklumat yang telah PAS Labuan dapati hasil kunjungan rasmi ke Jabatan Bekalan Air baru-baru ini dan banyak maklumat yang lebih terperinci tentang krisis bekalan air yang sedang menghimpit kehidupan rakyat telah dibentangkan. 
 
Hasil penerangan dan penjelasan yang telah diberikan, PAS Labuan mengklasifikasikan bahawa masalah bekalan air di Labuan adalah disebabkan oleh empat perkara:
 
1.    Kondisi paip yang sudah lama perlu diganti 100 peratus. Majoriti material paip tersebut adalah Asbestos Cement di mana dengan usia yang sudah lama menyebabkan mudah pecah walaupun selepas dibaik pulih. PAS dimaklumkan kebelakangan ini dalam masa sebulan pernah berlaku 6 ke 7 kali paip pecah. Fenomena ini sudah tentu menyukarkan kehidupan harian rakyat Labuan, malah ada beberapa buah kampung mengalami keputusan bekalan dan catuan bekalan air sejak sekian lama. Antara kampung kampung yang sering terjejas teruk apabila kerosakkan paip bekalan air pecah adalah Kampung Bukit Kuda, Taman Perumahan Mutiara Sungai Bedaun, Taman Perumahan Mahkota Impian serta kampung kampung yang  bersumberkan Takongan Bukit Kuda dan Takongan Sungai Miri. 
 
2.    PAS Labuan melihat peruntukan pembaikan yang baru diluluskan sebanyak 140 juta, tidak dapat menampung pembaikan yang menyeluruh, peruntukan tersebut yang telah di luluskan dan diumumkan oleh kerajaan PH serta disiarkan dalam berita AWANI baru baru ini hanya mampu untuk membiayai pemasangan paip baru sepanjang 13 kilometer sahaja berbanding 500 kilometer panjang piap keseluruhan Pulau Labuan yang perlu diganti. PAS Labuan melihat ini sebagai satu kelemahan kerajaan sekarang ini dalam menilai keperluan sebenar prasarana yang paling utama untuk keperluan rutin harian dan asas rakyat. 
 
3.    PAS Labuan juga mendapati Kualiti kerja dan koordinasi kerja baikpulih yang kurang efisien semasa berlaku kerosakan atau paip pecah dan disebabkan alat ganti yang terpaksa didatangkan daripada Sabah. Ini juga menyumbang kepada kelambatan proses pembaikan. Perkara ini juga adalah salah satu sebab terhadap kelembapan proses pembaikan bilamana kerosakan berlaku. 
 
4.    Permohonan untuk penambahan paip air tambahan (Modifikasi) sebagai ‘supplement’ dari paip utama  Beaufort-Labuan kepada bekalan Air ke kampung-kampung tidak diluluskan walaupun sudah berkali kali dipohon kepada kerajaan. Ini menyebabkan apabila Takungan air Bukit Kuda dan Takungan air Sungai Miri surut, bekalan air ke kampung-kampung terpaksa dicatu dan tergendala, maka penduduk kampung akan mengalami kesulitan.
 
Sepatutnya projek sokongan ini menjadi keutamaan dan wajib diluluskan dan dilaksanakan dengan segera supaya bekalan air ke Kampung tidak terganggu
 
Bila melihat situasi ini PAS Labuan merasakan, betapa tidak seriusnya kerajaan PH dalam menangani krisis ini kerana RM140 juta yang diluluskan itu hanya sekitar 5 ke 7 peratus sahaja daripada kos keseluruhan yang dianggarkan bernilai RM 2 ke 3 billion. 
 
PAS Labuan melihat pihak berwajib semacam tidak memahami dan mungkin tidak nampak keutamaan dan keperluan untuk menyelesaikan masalah bekalan air di Labuan. 
 
PAS Labuan mengingatkan jika krisis ini tidak diambil tindakan dengan serius, segera dengan berkesan, maka Rakyat Labuan akan terus menanggung kesengsaraan dan PAS Labuan melihat krisis ini tidak akan menemui jalan penyelesaian dalam masa terdekat. 
 
PAS Labuan melihat, semakin lama masa diambil untuk menggantikan keseluruhan paip air tersebut, maka krisis ini sudah pasti akan menjadi semakin parah maka rakyat juga semakin marah dan menjadi mangsa atas kelembapan ini. 
 
PAS Labuan melihat kegagalan krisis air ditangani dengan tuntas maka sudah tentu akan menghilangkan keyakinan rakyat terhadap keupayaan kerajaan PH yang sudah sarat dengan janji janji PRU 14 yang gagal mereka tunaikan. 
 
PAS Labuan menegaskan, rakyat sudah beri mandat kepada PH, maka sekarang rakyat menunggu apakah usaha dan tindakan pemimpin PH untuk bertindak bagi menyelesaikan kebuntuan krisis paip air yang seringkali pecah dan rakyat Labuan sudah cukup sekian lama menderita dan sengsara. 
 
PAS Labuan mengalu-alukan dan menunggu reaksi dan tindakan pemimpin PH di Labuan, Menteri Wilayah Persekutuan dan Menteri PH di peringkat negara dalam menangani dan menyelesaikan krisis ini. 
 
HAJI HAMIR HAJI ZAHARI
Yang DiPertua
PAS Kawasan Labuan – HARAKAHDAILY 10/9/2019
- Advertisement -