Jerebu: Berapa lama lagi rakyat kita jadi mangsa?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan memandang serius terhadap masalah jerebu yang melanda semula negara kita.

- Advertisement -

Ketuanya, Mohammad Rashidi Abdul Razak berkata saban tahun Malaysia menjadi mangsa terhadap masalah itu yang berpunca daripada kebakaran hutan di Indonesia.

“Pencemaran udara ini menyebabkan kehidupan harian penduduk terjejas khususnya golongan pekerja, pelajar, warga tua dan kanak-kanak.

“Persoalannya berapa lama lagi rakyat kita menjadi mangsa akibat angkara pihak yang rakus di negara jiran sana?” ujarnya dalam satu kenyataan.

Justeru, katanya Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan mendesak pihak  kerajaan khususnya Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) bertindak segera mencari solusi penyelesaian kepada permasalahan itu.

Tambahnya, Malaysia perlu menzahirkan pendirian yang lantang dan lebih tegas melalui Jawatankuasa Pemandu Menteri Mengenai Pencemaran Jerebu Merentasi Sempadan selaras Perjanjian ASEAN (The ASEAN Agreement on Transboundary Haze Pollution) yang telah ditandatangani oleh 10 negara anggota ASEAN.

Katanya lagi, rakyat juga ingin tahu sejauh mana Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan dan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan yang baharu dapat merungkaikan permasalahan jerebu itu.

“Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan ingin menasihatkan orang awam agar menjaga kesihatan masing-masing dan mengurangkan aktiviti di luar rumah bagi mengelakkan terdedah dengan risiko jerebu yang memudaratkan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 9/9/2019

- Advertisement -