Memperkasa ekonomi umat Islam

- Advertisement -
KEMPEN sokong produk buatan Muslim perlu diperhebatkan dalam rangka untuk memperkasakan ekonomi umat Islam, tetapi dalam masa yang sama sempadan perkauman perlu dijaga.
 
Kebelakangan ini kempen sokong produk buatan Muslim dilihat semakin mendapat sambutan di kalangan rakyat. Ini berpunca dari beberapa insiden yang amat mengguris hati ummat Islam, seperti isu penghinaan Nabi Muhammad S.A.W dan penolakan tulisan khat Jawi dalam silibus persekolahan.
 
Sikap orang Melayu yang selama ini amat bertolak ansur dan menerima kepelbagaian kaum lain seolah-olah diambil kesempatan oleh bangsa lain. Mereka tidak mengambil sikap toleransi atas kepercayaan dan budaya orang Melayu hingga sanggup menghina Nabi Muhammad S.A.W dan mempersoalkan keperluan tulisan Jawi diajar. Penghinaan demi penghinaan telah mencetuskan satu gerakan untuk menyedarkan bangsa lain supaya lebih sensitif dan menghormati orang lain.
 
Melalui bidang ekonomi kempen sokong produk buatan Muslim merupakan salah satu langkah pro aktif untuk menangani isu ini. Dengan bertemakan mencari produk yang halal dan bersih, Kempen ini bertumpu kepada seluruh lapisan masyarakat dan ianya menjadi keperluan asas setiap individu tidak mengira bangsa dan agama.
 
Atas dasar Islam Memimpin Perpaduan, kami menyeru kempen sokong produk buatan Muslim diperhebatkan dalam konteks toleransi antara kaum di negara ini turut dijaga.
 
Orang Islam percaya bahawa apa yang dimakan akan membentuk peribadi seseorang. Pemakanan yang baik akan menjadikan individu itu baik, sihat dan berakhlak. Di sinilah nilai keberkatan itu diukur.
 
Dengan menyokong produk buatan Muslim, tidak bermakna umat Islam boleh menghina produk bangsa lain. Akhlak baik akan memastikan hubungan antara kaum dijaga dan dalam masa yang sama memastikan ekonomi umat islam dipacu pada tahap terbaik.
 
FATIMAH ISMAIL
Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Johor – HARAKAHDAILY 8/9/2019
- Advertisement -