Jayakan PSR: SPRM digesa siasat Menteri Kewangan

- Advertisement -

BAYAN BARU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa tampil menyiasat mengenai campur tangan Kementerian Kewangan untuk menjayakan projek Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR).

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, butiran perkara tersebut pernah dinyatakan Koordinator Nasional Biro Alam Sekitar PSM, Sharan Raj dalam kenyataan medianya 24 Jun lalu.

Beliau mengemukakan semula gesaan tersebut bersandarkan fakta itu pada program Himpunan Ummah Selamatkan Pulau Pinang yang diadakan di Padang Awam Kampung Permatang Damar Laut, di sini petang tadi.

“Bahawa wujud campur tangan ghaib dari Menteri Kewangan untuk menjayakan projek ini (di mana) Konsortium SRS tidak memiliki modal yang cukup untuk memulakan projek ini.

“Dan (ketika sama) Lim Guan Eng telah mengumumkan Kementerian Kewangan berhajat untuk membeli saham terbesar empat konsesi tol di Lembah Klang yang dimiliki oleh Gamuda.

“Duit pembelian inilah akan digunakan Gamuda untuk memulakan projek PSR ini,” ujarnya memetik semula fakta dikemukakan Sharan dalam kenyataan media tersebut.

Menurut Kamaruzaman, sehingga ke hari ini cadangan tersebut tidak pernah dikemukakan di dalam Mesyuarat Kabinet, malah projek ini akan memberi kesan besar kepada seluruh ekosistem laut negara, bukan Utara negara sahaja.

Bidasnya, lebih penting adalah PSR bakal memberi kesan negatif jangka panjang kepada taburan demografi di mana sebahagian besar penduduk bahagian Selatan Pulau Pinang adalah kaum Melayu.

“Di mana mereka ini akan dipindahkan? Kemudian dibangunkan sehingga 400,000 rumah mewah yang tidak akan mampu dibeli penduduk tempatan.

“Secara jangka panjangnya, akan wujud suatu dominasi kaum tertentu di pulau ini. Ini sangat tidak baik untuk perpaduan dan keharmonian nasional,” tempelaknya.

Beliau juga mempersoalkan sikap DAP yang dahulu begitu menjuarai isu alam sekitar dan memperjuangkan nasib rakyat tertindas oleh pembangunan dengan merakusi landskap semulajadi sedia wujud.

Kini katanya, dengan kesan buruk bakal terjadi atas ekosistem dan menjejaskan hidupan laut, DAP pula menjadi penaja projek yang bakal menjejaskan kehidupan penduduk khususnya di Pantai Barat Malaysia.

Menurutnya, bantahan PSR ini akan diperluaskan dan dibawa hingga ke satu himpunan rakyat yang bakal menggegarkan Parlimen nanti. – HARAKAHDAILY 8/9/2019

20190908 162544

IMG 20190908 WA0079

- Advertisement -