Idea Tun M bina Dunia Islam kesinambungan D-8 Erbakan

- Advertisement -

SAYA tertarik dengan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika rangka lawatan rasminya ke Turki beberapa bulan yang lalu. Dalam sidang medianya bersama-sama Presiden Turki, Recep Tayyib Erdogan, beliau menyebut tiga buah negara Islam iaitu Turki, Pakistan dan Malaysia hendaklah mengeratkan hubungan antara satu sama lain samaada sudut poltik mahupun ekonomi dan menjadi suara kepada Dunia Islam dalam mendepani cabaran geopolitik semasa dunia.

- Advertisement -

khalilKenyataan ini disambut oleh penganalisa-penganalisa politik dunia terutamanya dari Dunia Islam, sama ada yang menyokong mahupun kritis. Di antara yang memberikan respons ialah Menteri Luar Pakistan, Mahmud Qureysi yang mengalu-alukannya dan meyakini bahawa kerjasama ketiga-tiga buah negara ini akan berhasil serta mampu memberikan impak yang besar. Ianya juga mampu menjadi titik permulaan dan pemangkin kepada kerjasama yang lebih baik di antara negara-negara Islam yang lain secara keseluruhan.  

Abdul Bari Atwaan, seorang penganalisa terkenal politik Arab pula menyebut dalam laman webnya raialyoum.com dengan mempersoalkan mengapa Tun Dr. Mahathir tidak memasukkan negara Arab sebagai salah satu dari tiga buah negara itu atau menjadi sebahagian daripada kumpulan tersebut sedangkan negara Arab mempunyai kekuatan daripada sudut ekonomi mahupun pengaruh. Nyata beliau begitu kritikal dengan cadangan ini dan dalam masa yang sama menyindir negara-negara Arab yang tidak menjadi perhatian dalam kenyataan Tun Mahathir itu.

Hakikatnya apa yang berlaku sekarang kepada Dunia Islam jelas menunjukkan kegagalan negara-negara Arab yang ada pada hari ini untuk menjadi pemangkin kepada kebangkitan Dunia Islam. Walaupun kebanyakkan negara-negara Arab mempunyai kekuatan ekonomi yang cukup hebat, yang mampu mengubah survival Dunia Islam serta mempunyai pengaruh yang cukup luas, namun kebanyakan daripada mereka hanya bersikap mementingkan diri sendiri dan survial mereka sahaja tanpa memperdulikan nasib umat mahupun negara Islam yang lain.

Namun begitu, ada juga pihak yang berpandangan bahawa masa untuk Dunia Islam menjadi kuasa besar dunia adalah idea lapuk, ketinggalan zaman dan sudah berlalu. Hakikatnya pandangan tersebut adalah tidak benar serta sebenarnya takut dengan kebangkitan Dunia Islam. Dengan populasi umat Islam di dunia sebanyak 1.8 bilion orang, kekayaan sumber hasil bumi yang banyak dan kedudukan Dunia Islam yang strategik di seluruh pelosok dunia, Dunia Islam mampu bangkit dari kegelapan abad ini.

Sebenarnya yang menghalang kebangkitan Dunia Islam ialah umatnya dan negara Islam itu sendiri.  Dunia Islam yang kita lihat sekarang sudah tidak mempercayai serta mempraktikkan Islam dalam keadah yang sebenar. Matlamat asal perjuangan Islam serta umatnya diketepikan malah persaudaraan mahupun silaturrahim sesama umat tidak diperdulikan. Maka lihatlah apa yang berlaku di Palestin, Syria, Yemen, Afghanistan, Myanmar dan China, itu adalah petanda jelas kegagalan Dunia Islam membela nasib saudara seagamanya. Walaupun Dunia Islam mempunyai kekuatan ekonomi dan pengaruh, perpecahan dan sikap mementingkan diri sendiri adalah punca serta kelemahan utama Dunia Islam.

Tun Dr. Mahathir begitu terkenal dalam konteks politik antarabangsa khususnya Dunia Islam dengan kelantangannya dalam membela isu-isu penindasan terhadap umat Islam di pentas antarabangsa khususnya kecamannya terhadap negara haram Zionis Israel. Adakalanya kelantangan beliau mendapat kecaman masyarakat antarabangsa khususnya yang menyokong Zionist Israel namun beliau terus mempertahankan Palestin dan mengecam penjajahan serta kezaliman Zionist Israel.

Dalam konteks perdagangan mahupun kewangan dalam usaha untuk membina kembali kekuatan Dunia Islam, pandangan beliau yang membina begitu juga kritikal tidak terkecuali mendapat perhatian. Walaupun adakalanya tajam dan kritikal, tidak dinafikan ia mampu mengubah pandangan dan kepercayaan umum terhadap Dunia Islam di saat Islam digambarkan sebagai lemah dan tidak bermaya dalam mendepani cabaran global.

Kenyataan beliau ketika lawatannya ke Turki yang mengesyorkan agar Dunia Islam menumpukan pembinaan semula ekonomi dan kerjasama erat sesama Dunia Islam sebagai teras kekuatan sesebuah negara Dunia Islam bukanlah satu perkara baharu kerana ianya adalah kesinambungan daripada idea Almarhum Prof. Najmuddin Erbakan yang telah dilaksanakan oleh beliau ketika menjadi Perdana Menteri Turki pada tahun 1995.

Almarhum Prof. Najmuddin Erbakan telah mewujudkan satu forum untuk membina kekuatan Dunia Islam yang dinamakan D-8 atau Organization for Economic Cooperation pada tahun 1997. Keahliannya ialah Turki, Pakistan, Nigeria, Indonesia, Iran, Mesir, Malaysia dan Bangladesh. Idea ini didukung oleh Tun Dr. Mahathir yang pada ketika itu adalah Perdana Menteri Malaysia.  

Tujuan utama kerjasama ini ialah untuk memaksimakan kedudukan setiap negara pada pentas ekonomi dunia dan mewujudkan peluang-peluang baru dalam bidang pelaburan di kalangan negara anggota D-8. Adalah dipercayai bahawa jika kerjasama ekonomi di kalangan anggota D-8 ini dipertingkatkan dan meneroka peluang pasaran sesama negara anggota, ia mampu membuahkan hasil yang lebih lumayan serta mampu untuk membina semula kekuatan ekonomi Dunia Islam.

Dengan nilai perdagangan di kalangan negara  anggota D-8 yang melebihi USD70 bilion serta meliputi 3.5 peratus dari jumlah perdagangan dunia dan jika ia mampu diaktifkan semula secara total dan mendapat kerjasama yang baik di kalangan negara anggota, adalah dipercayai ia mampu melonjakkan kembali Dunia Islam dalam arena ekonomi mahupun perdagangan antarabangsa. Walaupun Tun Dr. Mahathir hanya mengklasifikasikan tiga buah negara, saya percaya jika Tun Dr. Mahathir mampu membangkitkan semula agenda D-8 yang mempelopori kerjasama ekonomi dan perdagangan di kalangan Dunia Islam, ia mampu menjadi pemangkin serta contoh kepada negara Islam yang lain.

Walaupun dengan ketiadaan Almarhum Prof. Najmuddin Erbakan, adalah dipercayai kerjasama ini mampu diteruskan dengan jayanya. Saya juga percaya jika Tun Dr. Mahathir mengambil inisiatif untuk menghidup semula dan menerajui agenda kerjasama D-8 ini, beliau mampu membawa perubahan, meningkatkan jumlah pelaburan serta kedudukan ekonomi di kalangan negara anggota.

Dengan Malaysia, Turki dan Pakistan sebagai pelopor sebagaimana cadangan Tun Dr. Mahathir berserta dengan idealisma dan keazaman Tun Dr. Mahahir dan dengan kerjasama erat dari Recep Tayyib Erbakan dan Imran Khan, saya percaya ia mampu membuahkan hasil yang lumayan serta memberi manfaat kepada Dunia Islam secara keseluruhan.

Dunia Islam perlu berubah untuk mngembalikan kegemilangannya sama ada dari sudut pengaruh, strategi, ekonomi mahupun penguasaan geopolitik dunia. Perubahan dari zaman kegelapan Dunia Islam kembali ke zaman kegemilangan serta kekuasaan adalah perlu untuk menolak dogma dan persepsi bahawa Dunia Islam sudah tidak bermaya dan terlalu lemah.

Kerjasama erat terutamanya dari sudut ekonomi mahupun perdagangan di kalangan Dunia Islam adalah amat wajar memandangkan Dunia Islam jauh ketinggalan dari sudut ekonomi mahupun pembangunan. Mungkin ia boleh dimulakan oleh tiga negara iaitu Malaysia, Turki dan Pakistan, kemudian memberi nafas baru kepada D-8. Dengan keazaman dan kecekalan serta menjadikan D-8 sebagai pemangkin mahupun contoh kepada negara Islam yang lain, Dunia Islam mampu bangkit semula menjadi menjadi kuasa ekonomi dan geopolitik di abad ini.

YB MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Hubungan Luar dan Antarabangsa PAS Pusat
Adun Batu Burok – HARAKAHDAILY 7/9/2019

- Advertisement -