Dr Raja Iskandar Al Hiss: Sosok pejuang dalam ingatan

- Advertisement -

ORANG yang baik akan kekal terpahat dalam ingatan kita sehingga hujung nyawa. Maka kekal menjadi orang yang baik sangat berbaloi walau dipancing dengan jutaan godaan untuk berbalik arah. Pagi yang indah ini, aku terpanar dengan berita kepulangan ke negeri abadi, seorang sahabat, Dr Raja Iskandar Raja Yaakob atau Dr Raja al Hiss. Tokoh anak muda itu dalam kelompok kami memanggilnya sebagai ‘king’,  gelaran untuk bermanja dan menyulam kemesraan.

- Advertisement -

Aku mula mengenali anak muda berdarah istana Perak ini semenjak beliau di bangku kampus lagi, Raja Ku Is adalah graduan UIAM dan merupakan pimpinan pelajar yang aktif dalam pelbagai isu. Gelombang reformasi 1998 menyuburkan watak kepimpinan Dr Raja, bahkan kerana hubungan baik beliau dengan teman-teman aktivis yang berasal daripada Indonesia. Ramai daripada teman-teman itu telah menjadi anggota legislatif di negara seribu pulau tersebut.

Dr Raja membuat pilihan yang besar implikasinya selepas bergraduat, memilih menjadi petugas sepenuh masa PAS di saat kawan-kawan sebayanya memasuki sektor awam dan swasta. Beliau menjadi Setiausaha Politik kepada Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Dato’ Mahfuz Omar di samping menggerakkan aktiviti kepemudaan di daerah kelahirannya, Kuala Kangsar. Aku sentiasa dijemput memberikan pengisian untuk anak-anak muda di Kuala Kangsar dan Perak,bahkan beliau mengaturkan tiket penerbangan untuk aku berlang-lang buana ke Oita, Jepun pada tahun 2001.

Pejabat DPPP di Taman Melewar sentiasa meriah, Ku Is menggerakkan aktiviti Pemuda Pusat bersama Fadli Ghani, Faiz Nawawi,  Yusapiza Yaakob, Kamarul Ariff Ambak. Staf DPPP ini sekali gus meggalang pelbagai jawatan dalam Dewan Pemuda PAS. Anak Istana ini tak kekok di lapangan serta merakyat, pandai membawa diri dan menghormati orang lain. “Abe…anta free tak tarikh ni?…” itulah selalunya soalan klise Dr Raja atau Ku Is bila menelefon atau menghantar mesej. Paling akhir aku dijemput oleh beliau ialah untuk merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Kuala Kangsar  di mana beliau adalah YDP PAS kawasan tersebut. Beliau melepaskan jawatan YDP kepada Drs Khalil Idham Lim kerana urusan akademik.
 
Kehebatan Dr Raja yang diakui seluruh kawan-kawan seperjuangan ialah tak lelah mengisi masa lapang dengan kerja bermanfaat untuk ummah. Dalam kesibukan berprogram di seluruh negara di zaman pemuda, beliau berjaya menamatkan ijazah Sarjana dan seterusnya melanjutkan pelajaran peringkat doktorat di Universiti Mancester, United Kingdom.

Di negara bekas penjajah itu, empayar Pax Britanica yang sombong menjulang langit, anak muda itu tak memilih berpangku lengan. Beliau aktif dengan perkaderan pelajar serta Kelab PAS di sana. Aku menziarahinya di sana dan seakan terakam indah dalam memori, makan nasi bersila di rumah sewanya di Manchester. Musim sejuk yang menggigit tulang sumsum, dihidang gulai ayam masakan isterinya yang turut bersama bermukim ilmu di Engkand. Anak kecilnya di atas riba dan kami berbual seluruh topik politik. Aku sebelum itu turut menghadiri perkahwinan Dr Raja di Kuala Kangsar dan mengikuti perkembangan beliau membina keluarga.

Kembali ke tanah air selesai berdoktorat, beliau terus berkecimpung dalam Dewan Pemuda PAS Pusat dan juga menjadi pensyarah di Universiti Petronas di Perak. Mengimbangi dengan cemerlang antara karier dan kerja jamaah adalah keistimewaan Dr Raja, beliau bergerak ke seluruh negara dengan mempunyai seorang pemandu peribadi. Kereta Mercedes yang dibawa pulang daripada UK menjadi saksi kegigihan ahli akademik cum aktivis itu.

Beliau pernah menjawat jawatan Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ketua Dewan Pemuda PAS Perak, YDP PAS Kuala Kangsar dan pelbagai jawatan lain dalam jemaah. Minatnya sangat mendalam untuk membantu saudara seakidah yang dihempap duka dan derita, maka Dr Raja telah menubuhkan sebuah gerakan swadaya, iaitu Muslim Serantau yang aktif membantu di peta luka umat Islam, Syria, Arakan, Bangladesh, Indonesia dan lain-lain tempat.

Di hujung usianya, sang aktivis tegar ini bertarung dengan penyakit kanser. Kami sentiasa berhubung dan bertanya khabar, mengirim sedikit sumbangan tak seberapa buat teman yang diuji kesakitan. Beliau berulang ke hospital untuk kimo dan pergerakannya agak terbatas. Sakit bukan alasan untuk beliau berehat, melalui NGO beliau terus berkempen untuk membantu insan-insan lain.

Pagi ini, aku sebak mengenangkan sahabat-sahabat seperjuangan yang telah mengadap Ilahi, dalam tempoh setahun ini, tiga orang mantan Ketua Dewan Pemuda PAS Perak kembali ke rahmatullah, Almarhum Ustaz Zawawi Hasan, Almarhum Ustaz Norazli Musa (Ustaz Toliban) dan hari ini Dr Raja Iskandar al Hiss.

Mereka semua pulang dengan seribu kebaktian buat ummah, damailah sahabat-sahabatku semua di alam sana, berehatlah dan kami juga akan menyusul kalian. Al-Fatihah buat adindaku, “king“, Ku Is, Dr Raja, namamu tetap terpahat indah di hati kami semua. – HARAKAHDAILY 7/9/2019

Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI.

- Advertisement -