Tambah baik kebajikan, bukan tiada pencen

idris2
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pihak kerajaan perlu mengkaji dengan lebih terperinci berhubung cadangan untuk tidak lagi melaksanakan skim tetap dan pencen bagi lantikan baharu dalam perkhidmatan awam mulai tahun hadapan yang digantikan dengan mekanisma baharu iaitu skim lantikan kontrak.

- Advertisement -

Menurut Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad cadangan itu tidak sepatutnya dilaksanakan demi kebaikan 1 juta kakitangan kerajaan di negara ini.

Katanya, alasan yang diberikan untuk menjimatkan perbelanjaan negara sebanyak RM5 bilion setahun sangat tidak kukuh.

“Ini merupakan satu alasan yang tidak sepatutnya diberikan oleh pihak kerajaan.

“Sepatutnya sebagai sebuah kerajaan yang dinamik memikirkan tentang mekanisma bagaimana untuk menambah baik aspek kebajikan terutama kakitangan kerajaan,” katanya kepada Harakahdaily.

Katanya, sebelum ini ada kakitangan kerajaan yang membuat pilihan untuk mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan skim pencen.

Jelasnya, perkara ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial kerajaan dan mesti memberikan perhatian kepada masalah terutamanya kebajikan kakitangan awam.

Pada 4 September lalu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Dato’ Seri Borhan Dolah, telah mengeluarkan kenyataan bahawa mulai tahun hadapan, lantikan baharu dalam perkhidmatan awam mungkin tidak lagi dibuat di bawah skim tetap dan berpencen sebaliknya digantikan dengan skim lantikan kontrak yang ditambah baik. – HARAKAHDAILY 6/9/2019

- Advertisement -