500 sertai himpunan Save Kashmir

- Advertisement -

MARANG: Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) berjaya menggerakkan ratusan umat Islam untuk bersolidariti kerana penindasan dan kezaliman kerajaan India ke atas umat Islam di Kashmir.

- Advertisement -

Ketuanya, Ustaz Mohd Nasir Abdul Razak berkata, himpunan yang sama berlaku di seluruh negara anjuran Pemuda PAS negeri masing-masing selepas solat Jumaat hari ini.

Katanya, umat Islam Kashmir kini dalam bahaya kerana ancaman tangkap, rogol dan bunuh oleh pemerintah India.

“Mereka ditindas, kerajaan India cuba menarik balik kuasa autonomi di Kashmir. Malangnya, ada negara-negara umat Islam yang menyokong tindakan kerajaan India itu walaupun ditentang oleh rakyat Kashmir sendiri.

“Kononnya, untuk menstabilkan ekonomi dan politik India tetapi sebaliknya mereka cuba mengusir orang Islam di Kashmir seperti umat Islam Rohingya di Arakan. Sebagaimana musuh Islam melakukan penindasan kepada rakyat Palestin, begitu jugalah mereka buat kepada penduduk Kashmir.   

“Antaranya, mereka menarik taraf kerakyatan penduduk Islam Kashmir. Selepas itu, mereka akan ditangkap, dihalau, dirogol dan dibunuh. Inilah yang berlaku pada hari ini,” jelasnya ketika berucap pada Himpunan Save Kashmir, selepas solat Jumaat di pekarangan Masjid Kampung Titian Baru, Bukit Payung, hari ini.

Menurutnya, desakan akan terus dilakukan oleh Pemuda PAS agar masyarakat dunia sedar penindasan dan kezaliman yang sedang berlaku di Kashmir.

Malangnya, kata beliau, setelah berminggu-minggu berlaku peristiwa kejam itu belum ada kedengaran Kerajaan Malaysia membela umat Islam Kashmir.

“Di mana suara pemimpin Kerajaan Malaysia, suara pemimpin Islam Pakatan Harapan? Semoga dengan himpunan aman ini dapat menyedarkan mereka, insya-Allah,” ujarnya di hadapan 500 hadirin.

Menurutnya, kekacauan yang berlaku seluruh dunia adalah hasil peninggalan penjajah yang sengaja meninggalkan ‘racun’ dan’umpan’ di negara yang dijajah.

“Penjajah selepas meninggalkan tanah jajahan itu mereka bukan bebaskan begitu sahaja. Pastinya, mereka (penjajah) akan meninggalkan ‘racun’ dan ‘umpan’ untuk mereka meneruskan lagi penjajahan mereka.

“Antaranya, umpan persempadanan negara. Inilah yang berlaku kepada masyarakat Islam di Kashmir. Mereka sengaja mewujudkan perbalahan antara agama, antara mazhab, puak, kabilah dan sebagainya,” jelas Ketua Pemuda PAS itu.  

Katanya, Dewan Pemuda PAS Terengganu bersama-sama dengan Dewan Pemuda PAS Malaysia seluruh negeri menyatakan kebersamaan dalam isu Kashmir ini.

Tambahnya lagi, himpunan aman ini sebagai tanda solidariti di atas kekejaman yang dilakukan kerajaan India ke atas umat Islam Kashmir.

Hadir sama pada himpunan itu, Ketua Pemuda PAS Marang, Ustaz Muhammad Yusof Abdul Hadi, Ketua Pemuda PAS Hulu Terengganu, Ustaz Harun Isa, Ketua Jabatan Pilihanraya Pemuda PAS negeri, Ustaz Irshad Syafiq dan Penolong Setiausaha Pemuda PAS negeri, Ustaz Ridhuan Abdul Karim. – HARAKAHDAILY 6/9/2019

kh1

kh3

- Advertisement -