PAS Hang Tuah Jaya tubuh Cawangan baharu

- Advertisement -

HANG TUAH JAYA: PAS Kawasan Hang Tuah Jaya telah berjaya membentuk jawatankuasa penaja PAS Cawangan Taman Tasik Utama yang bakal didaftarkan secara rasmi tidak lama lagi sebagai Cawangan baharu.

- Advertisement -

Penubuhan ini sekali gus menyahut Ucapan Dasar Presiden PAS dalam Muktamar PAS Pusat Ke-65 di Pahang pada Jun lalu supaya memperkasakan gerak kerja penambahan ahli dan Cawangan baharu.

Yang DiPertua PAS Kawasan Hang Tuah Jaya, Ramli Dalip dalam ucapannya merakamkan tahniah di atas kejayaan menubuhkan cawangan baharu yang menjadi platform kepada rakyat, dan usaha menambah ahli-ahli PAS.

“Kita melihat, bahawa PAS hari ini semakin diminati oleh rakyat khususnya dalam kalangan anak muda. Mereka melihat, pola dan perjuangan Politik PAS dengan prinsip Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS), dalam usaha menjadikan rakyat lebih sejahtera.

“Selain itu, gerak kerja di peringkat cawangan-cawangan perlu diperhebatkan dengan mengadakan pertemuan bersama ahli-ahli PAS, hadir ke program-program bagi pengukuhan kefahaman dan maklumat yang jelas sampai kepada ahli bawahan,” serunya di Ayer Keroh, di sini semalam.

Pimpinan PAS Hang Tuah Jaya yang turut hadir adalah Naib Yang DiPertua, Muhd Taufik Ab Rahman dan Setiausaha, Mustafa Ali, serta Ketua Urusan Ulamak, Ustaz Rizal Idris. – HARAKAHDAILY 5/9/2019

- Advertisement -