Edit foto Sultan: Pemuda PAS T’ganu lapor polis

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kesal dengan seorang pelayar Twitter yang sengaja mengedit dan menukar gambar Sultan Terengganu dengan gambar Presiden PAS, satu laporan polis dibuat oleh Pemuda PAS Terengganu.

- Advertisement -

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu, Mohd Nasir Abdul Razak berkata, pemilik Twitter yang menggunakan nama Tengku Haslinda telah mengedit gambar Sultan Terengganu dengan Presiden PAS.

“Kami daripada Dewan Pemuda PAS Terengganu, merasa kesal dengan sikap serang pelayar Twitter, yang menggunakan namanya Tengku Haslinda.

“Beliau (Tengku Haslinda) telah menukar gambar Sultan Terengganu, Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin dengan gambar Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

“Jelas tujuannya, untuk memburukkan Presiden PAS, namun beliau telah mengedit gambar Tuanku Sultan Mizan dan ini adalah suatu penghinaan terhadap Institusi Diraja Terengganu,” tegasnya yang ditemani beberapa orang Exco Pemuda PAS Terengganu.

Beliau berkata demikian selepas membuat satu laporan polis terhadap pelayar Twitter Tengku Haslinda di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Kuala Terengganu, pada jam 3.40 petang, hari ini.

Mohd Nasir berkata, pemilik akaun Twitter itu perlu bertanggungjawab di atas kelakuan itu dan diambil tindakan sewajarnya.

Harakahdaily dimaklumkan, Tengku Haslinda sengaja mengubahsuai gambar Tuanku Sultan Mizan dengan Dato’ Seri Abdul Hadi pada Majlis Sambutan Ma’al Hijrah 1441H Peringkat Negeri Terengganu, baru-baru ini.

Justeru, Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu merasa pemilik akaun tersebut perlu bertanggungjawab dan diambil tindakan atas perbuatan itu. – HARAKAHDAILY 5/9/2019

- Advertisement -