KERABAT harap arwah Mejar Zahir dihargai k’jaan

- Advertisement -

KEJADIAN menembak atau tertembak rakan setugas yang menimpa Almarhum Mejar Mohd Zahir bin Armaya adalah sangat tragis dan mengelirukan.

- Advertisement -

Saya selaku Presiden Kebajikan Rangkaian Bekas Angkatan Tentera (KERABAT) mewakili semua Veteran ATM seluruh Malaysia kami sangat bersimpati dengan seluruh keluarga pelakon legenda AR Badul yang merupakan bapa kepada Almarhum Mejar Zahir.

Tidak dilupakan salam takziah buat ibu Almarhum serta balu beliau Puan Nour. Kami mendoakan agar seluruh ahli keluarga Almarhum Mejar Mohd Zahir diberikan ketabahan dalam menghadapi dugaan yang besar ini.

Sesungguhnya kepiluan di atas kehilangan Mejar Zahir ini diratapi oleh seluruh warga veteran di saat kita meraikan bulan kemerdekaan dan bakal menyambut Hari Malaysia pada 16 September bakal menjelang.

Saya sangat terkilan dan terkejut insiden ini boleh terjadi. Kes ini melibatkan kehilangan nyawa. Badan Penyiasatan dari ATM pasti akan dibentuk dan hasil siasatan akan di majukan kepada pihak Peguam Negara. Sama ada ianya berpunca dari kesilapan teknikal atau salah laku manusia mestilah disiasat dengan rapi.

Kebimbangan kita agar insiden seumpama ini tidak akan berlaku lagi kerana ia sangat merugikan apabila negara kita kehilangan seorang tenaga pakar yang terlatih dalam hal ehwal dan selok belok peperangan.

Saya menyeru agar urusan jenazah Almarhum Mejar Mohd Zahir Armaya ini disemadikan dengan adat istiadat ketenteraan yang sempurna. Pihak MINDEF digesa untuk memastikan urusan pencen, pembiayaan dan pampasan Almarhum dibuat sebaik mungkin.

Saya secari peribadi mengesyorkan kepada YAB Perdana Menteri agar dapat menguruskan Haji Badal percuma buat Almarhum dan menganugerahkan sebuah rumah untuk balu dan 5 orang anak Almarhum yang sedang membesar tanpa bapa.

Dengan sedikit usaha dari Menteri Pertahanan, YB Haji Mohamad Sabu untuk memberikan tabungan dari mana-mana sumber suci, hatta Baitulmal untuk dihulurkan kepada ayah dan ibu Almarhum Mejar Zahir untuk menunaikan fardu Haji pada tahun 2020 akan datang sebagai tanda penghargaan dari Negara kepada rakyat yang telah berjasa.

Walaupun sumbangan ini terlalu kecil dari Negara kepada seorang perwira Negara namun ianya pasti dapat mengubat hati kerinduan dan kehilangan yang dirasai mereka. Ibarat kata pepatah Melayu, berat mata memandang, berat lagi bahu yg memikul.

Salam perjuangan dari saya.

LT KOL (B) HJ NAZARI HJ MOKHTAR
Presiden Kebajikan Rangkaian Bekas Angkatan Tentera (KERABAT) – HARAKAHDAILY 4/9/2019

*Sebuah sekretariat yang diujudkan dalam PAS untuk menjaga dan memperkasakan ATM dan veteran sejak 1 Julai 2010

IMG 20190904 WA0053

- Advertisement -