Seludup spesies endemik, apa tindakan kerajaan?

alias hamid
- Advertisement -

BARU-baru ini, negara kita dihebohkan dengan pembongkaran kegiatan haram warga asing yang datang melancong ke negara kita tetapi telah melakukan kegiatan penyeludupan biji benih buah-buahan spesies endemik secara haram sejak hampir lima tahun yang lalu.

- Advertisement -

Spesies endemik ini merupakan spesies yang hidup berkelompok di habitat yang terbatas di sesuatu lokasi tertentu. Di Malaysia terdapat beberapa tumbuhan endemik misalnya spesies durian di Borneo iaitu durian isu (durio oxleyanus), durian pakan (durio kutejensis), durian kulit merah (durio dulcis), durian isi merah (durio graveolens) dan durian kura-kura (durio testudinarium). Kesemua lima spesies durian ini merupakan satu aset negara kerana keunikannya dan hanya terdapat di Sabah dan Sarawak sahaja.

Mereka bukan sahaja menjual biji benih durian, malah biji benih buah longan liar dan buah dabai juga turut dijual ke luar negara secara haram. Kegiatan haram ini dilihat mudah beroperasi tanpa pemantauan yang ketat dan dijual di pasaran gelap sama ada dalam dan luar negara.

Sekiranya tiada tindakan yang bersepadu dan tegas diambil oleh kerajaan, adalah tidak mustahil negara kita akan mengalami satu kerugian seandainya spesies ini tidak dilindungi dan penyeludupan haram oleh warga asing tidak dibanteras segera.

Kerajaan perlu menangani isu ini secara holistik iaitu pertama, bahagian penguatkuasa iaitu Jabatan Kastam Diraja Malaysia perlu mengetatkan kawalan dan pemeriksaan kepada pelancong asing agar tidak membawa keluar biji benih buah-buahan spesies endemik sewenang-wenangnya tanpa kebenaran secara sah daripada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

Kedua, mana-mana pihak sama ada rakyat tempatan mahupun pelancong asing yang terlibat dalam kegiatan penyeludupan spesies endemik ini perlu didakwa dan dijatuhkan hukuman yang setimpal berdasarkan Peraturan-peraturan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Kuarantin dan Pemeriksaan) 2013 dalam seksyen 49 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

Ketiga, spesies endemik terutama spesies durian ini juga seharusnya diperluaskan dalam pelaksanaan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) yang menglibatkan kerjasama antara agensi Kerajaan seperti Jabatan Pertanian, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dengan universiti tempatan di negara kita. Dengan menjalankan R&D secara bersepadu, spesies endemik ini berpotensi dimanfaatkan sepenuhnya secara komersial sekaligus meningkatkan ekonomi negara.

Saya juga menyokong cadangan Presiden Persatuan Benih Kebangsaan Malaysia (NSAM) agar kerajaan menyenaraikan spesies endemik ini sebagai warisan semulajadi kebangsaan yang dilindungi di negara kita.

“Islam Memimpin Perpaduan”

YB CHE ALIAS HAMID
Ahli Parlimen Kemaman
03 September 2019 | 03 Muharram 1441 – HARAKAHDAILY 3/9/2019

- Advertisement -