Umat dalam negara perlu penghijrahan besar

- Advertisement -

MUAR: Kemerdekaan adalah kebebasan dan kemenangan, namun untuk mendapat kemenangan perlu ada penghijrahan, demikian menurut Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Ustaz Kamarudin Sidek.

- Advertisement -

Terang beliau, perkara tersebut dilakukan Baginda Nabi S.A.W yang melalui pelbagai rintangan sebelum berjaya mewujudkan pemerintahan Islam di Kota Madinah dan Makkah.

Perkara tersebut dikupas beliau dalam Ceramah Perpaduan Ummah Sempena Kemerdekaan Ke-62 anjuran Lajnah Penerangan PAS Kawasan Muar di Pusat Tarbiyah PAS Parit Pecah, di sini kelmarin.

“Situasi kebatilan yang ada di Makkah memaksa Baginda untuk berhijrah ke Madinah. Pertembungan antara kebatilan dan kemenangan yang mahu dikecapi memberi kekuatan dan kesungguhan kepada Nabi dan para Sahabat untuk memburu kebenaran, lalu berhijrah ke Madinah.

“Begitulah situasi yang berlaku hari ini, kebatilan semakin bermaharajalela memerlukan satu penghijrahan besar. Kes penghinaan atas Islam, 10,000 kes dilaporkan dalam empat bulan. Menunjukkan ketidakupayaan pemimpin Islam sendiri terutama kerajaan menanganinya dari merebak berleluasa,” ujarnya.

Beliau turut menyentuh suara-suara penentang Dr Zakir Naik yang ‘membantai’ beliau sedangkan perkara seumpama tidak pernah berlaku hinggakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga goyah.

Hingga akhirnya kata beliau, Tun Mahathir menyatakan ceramah Dr Zakir menyebabkan berlaku ketegangan dan ketidakharmonian kaum, selain kurangnya NGO Islam untuk bangun membela beliau.

“Kerana itu perpaduan ummah PAS dan Umno penting ke arah mengembalikan kuasa dominan Islam-Melayu demi menyelamatkan agama, bangsa dan negara. Juga menentang kebatilan yang semakin membarah. PAS dan Umno perlu titik persamaan dan ketepikan perbezaan menuju kemenangan sebenar.

“Namun jangan lupa, dalam perjuangan tetap akan ada ‘Si Kitol’ yang akan merosakkan dari dalam. Harus bina kekuatan bersama menghadapinya. Berikan wala’ kepada pimpinan, lupakan sengketa dan berdoalah perjuangan kemerdekaan ini untuk mengisi kemenangan Islam dan memartabatkannya,” seru beliau.

Turut sama pada majlis ini adalah Yang DiPertua PAS Muar, Abdul Aziz Talib dan Timbalan Ketua Umno Bahagian Muar, Datuk Ansari Shariff serta Ketua Assabiqat Negeri Johor, Sarman Sharif serta Ketua Muslimat PAS Muar, Norhayati Sulaiman. – HARAKAHDAILY 2/9/2019

- Advertisement -