Sepak takraw gamit anak muda Bandar Teknologi

- Advertisement -

BANGI: Pemuda PAS Cawangan Bandar Teknologi telah mengadakan Siri 2 Kejohanan Sepak Takraw Piala Ketua PAS Cawangan Bandar Teknologi di gelanggang sepak takraw, di sini kelmarin.

- Advertisement -

Program ini merupakan lanjutan Siri 1 pada Mac lalu yang mendapat sambutan menggalakkan serta mempamerkan aksi kesukanan bertenaga melibatkan kategori junior bawah 12 tahun dan dewasa 13 tahun ke atas.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Kawasan Bangi, Ustaz Mohd Idris Yusof menyifatkan penyertaan memberangsangkan itu sebagai bukti keberhasilan Pemuda PAS di Cawangan menarik anak muda dalam aktiviti sihat.

“Ia juga bertepatan dengan hasrat agama kita melahirkan umat yang sihat dan kuat melalui bersukan sekali gus kuat beribadah. Paling tidak pada pertandingan ini, dua matlamat utama kita capai, satunya badan yang sihat dan kedua ukhuwah Islamiyah sesama kita,” ujarnya.

Perlawanan akhir menemukan pasukan dari Seksyen 5 menentang pasukan XPDC B di mana pertarungan sengit di antara dua pasukan akhirnya dimenangi oleh pasukan Seksyen 5 sehingga membawa ke set penentuan.

Hadiah disampaikan sendiri oleh Ketua PAS Bandar Teknologi, Suhaimi Mat Daud berupa hamper, medal dan piala pusingan, selain tiga helai baju DACS turut diberikan kepada perejam terbaik, apit kiri terbaik dan tekong terbaik.

Menurut penganjur, mereka akan mengadakan lebih banyak aktiviti untuk anak muda di Bandar Teknologi Kajang di masa-masa akan datang. – HARAKAHDAILY 2/9/2019

- Advertisement -