Mainan politik jatuh menjatuh dalam PH

- Advertisement -

ALOR SETAR: Isu Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Mukhriz Mahathir yang didakwa oleh Sarawak Report berkenaan penganugerahan tanah di Sarawak pada tahun 1994, dilihat sebagai mainan politik tidak sihat, jatuh menjatuh di dalam PH sejak akhir-akhir ini.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Kedah, Ustaz Mohd Azam Abdul Samat berkata, PAS negeri tetap berpendirian selagi seseorang yang dituduh itu tidak dibuktikan bersalah maka ia belum dianggap bersalah.

“PAS berpegang kepada prinsip keadilan serta telus dan pendakwaan terpilih merupakan ketempangan dalam sistem kehakiman,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, PAS sebelum ini juga dikaitkan dengan fitnah yang dimainkan oleh Sarawak Report  berkenaan isu RM90 juta menjelang pilihan raya umum (PRU) lalu, sehingga menimbulkan persepsi buruk terhadap parti itu.

Sehubungan itu, tuduhan terhadap Menteri Besar Kedah itu perlu disiasat oleh SPRM memandangkan ada kenyataan balas dari beliau sendiri berkenaannya.

Menurut Adun Sungai Limau itu lagi, fail siasatan terhadap pimpinan PH yang melibatkan banglo mewah, pembinaan terowong dasar laut yang melibatkan ratusan juta ringgit dan lain-lain lagi perlu dibuka kembali.

“Jangan kerana budaya ‘memilih’ ia ditutup dan didiamkan. Rakyat menunggu jawapan yang sebenarnya.

“Apakah konsep Malaysia Baharu yang dilaungkan oleh PH sekadar ‘tin kosong’ yang bunyinya kuat, hakikatnya penuh tipu daya,” bidas beliau. – HARAKAHDAILY 2/9/2019

- Advertisement -