Konsep ‘rahmatan lil alamin’ bukan ilusi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS menyokong sepenuhnya titah Yang di-Pertuan Agong supaya semangat toleransi dan kerjasama rakyat berbilang kaum yang menjadi asas kukuh kepada perpaduan negara bagaimanapun tidak boleh sehingga melanggar perintah agama.

- Advertisement -

Begitu juga dalam memahami konsep ‘rahmatan lil alamin’ iaitu rahmat yang lahir daripada penghayatan Islam sebenar yang akan mencucuri kehidupan manusia dan alam sejagat.

Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad berkata, jangan kerana sikap bertolak ansur sehingga hilangnya roh dan izzah Islam.

“Bertolak ansur bukan sesuai dengan kehendak manusia. Bukan kerana hendak ambil hati orang bukan Islam sehingga hilang roh Islam.

“Bukan meletakkan Islam terlalu mudah sehingga hilang kecantikan Islam,” katanya kepada Harakahdaily.

Meskipun katanya, sikap toleransi itu perlu dalam masyarakat majmuk, namun bukan sehingga takut untuk mempertahankan Islam ketika dihina.

Malahan, takut hendak membela saudara seIslam ketika dihina, ia sangat bercanggah dengan syariat Islam yang sebenarnya.

“Konsep rahmatan lil alamin bukan ilusi, fantasi, tetapi realiti dengan syarat ambil daripada acuan Islam.

“Ia kerana kebenaran itu datangnya daripada Allah SWT,” katanya.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, dalam berusaha melakukan hijrah kepada hidup bermasyarakat yang lebih toleransi serta disemai dengan bunga kasih sayang, jangan pula mengabaikan tuntutan agama dan hukum Allah.

Tuanku bertitah demikian sempena sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di Putrajaya, semalam. – HARAKAHDAILY 2/9/2019

- Advertisement -