Sekularism: Gugurkan daie dari jalan dakwah

- Advertisement -

SEKULARISMA adalah sebuah aliran pemikiran yang jelas bercanggah dengan Islam, yang berdiri di atas asas pemisahan antara politik dengan agama. [1] Sudah ribuan sarjana di seluruh dunia menghuraikan dan membahaskan ideologi ini dari sudut sejarah dan agenda-agendanya.

- Advertisement -

Bagaimana berkembangnya tamadun, begitu jugalah agenda sekularism di‘upgrade’.

1.    Era awal kemunculannya di zaman kejatuhan Eropah, ia dilihat muncul sebagai satu kebangkitan, menjatuhkan kuasa gereja.

2.    Era kemunculan sekularism dalam dunia Islam ia dilihat berfungsi melalui pemisahan kuasa, dan memperkenalkan modernism.

Dari segi sejarahnya, sekularisma pada awal penubuhannya bukanlah mengingkari kewujudan Tuhan sepertimana atheism, akan tetapi mereka menolak penguasaan bergereja terhadap ilmu dan kehidupan. [2]

Justeru, sekularism di zaman itu lebih merancang ke arah pemisahan agama daripada politik, pendidikan, ekonomi, kemasyarakatan dan banyak lagi.

Di dalam aspek ini kita sepatutnya kita melihat melihat dari sudut perbezaan antara Islam dan kristian terlebih dahulu supaya perangai orang kristian terdahulu tidak ter‘copy-paste’ oleh ummat Islam hari ini.

Taqlid buta

Ayat al Quran [3] dan Hadis banyak menceritakan tentang larangan taqlid sudah cukup jelas, termasuk membicarakan taqlid yang dibenarkan dantaqlid yang diharamkan [4].

Taqlid buta yang diamalkan oleh penganut Kristian ialah mengikut telunjuk para paderi sehingga melangkaui batas halal dan haram. Perkara ini ditekankan juga oleh Syeikh Yusof al Qaradhawi di dalam Kitab Halal dan Haram, bahkan beliau mengaitkan dengan Hadis ‘Adiy bin Abi Hatim [5]

Allah S.W.T berfirman:

اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَاباً مِنْ دُونِ اللَّهِ وَالْمَسِيحَ ابْنَ مَرْيَمَ وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا إِلَهاً وَاحِداً لا إِلَهَ إِلَّا هُوَ سُبْحَانَهُ عَمَّا يُشْرِكُونَ

“Mereka menjadikan pendita-pendita dan ahli-ahli ugama mereka sebagai pendidik-pendidik selain dari Allah, dan juga (mereka mempertuhankan) Al-Masih ibni Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan.”

(at-Taubah: 30)

Di dalam ayat 78 Surah al Baqarah, Allah S.W.T menceritakan tentang wujudnya pemalsuan yang dilakukan oleh para paderi dan dipercayai serta diimani oleh penganut penganutnya.

Selain kejahilan, antara krisis yang dihadapi oleh mereka ialah taqlidbuta. Iaitu mereka berpegang (taqlid buta) dengan syariat yang direka-reka oleh para Paderi mereka sekalipun melangkaui batas halal dan haram.

Allah S.W.T yang menghalalkan atau mengharamkan

Di dalam Islam, yang menentukan halal dan haram itu ialah Allah S.W.T, bukanlah manusia. Para ulamak hanya boleh mengharuskan apa yang dihalalkan oleh Allah, dan bertegas terhadap perkara yang diharamkan oleh Allah.

Apa yang terjadi pada zaman pemerintahan bergereja sepertimana yang diceritakan di atas, menunjukkan bahawa para paderi telah menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah S.W.T, begitu juga sebaliknya.

Tiada dalam Islam perkara yang haram boleh bertukar halal atau sebaliknya dengan sewenang wenang tanpa sandaran daripada nas al Quran dan Hadis serta mengikut sistem penghasilan hukum (istinbat) yang sebetulnya.

Sekadar contoh, antara kaedah istinbat yang tersimpang, iaitu apabila melihat beberapa ayat al Quran dan Hadis [6] yang menyuruh mentaati ‘Amir’, secara simplistiknya terus menyatakan kewajipan mentaati kerajaan yang memerintah hari ini.

Sedangkan apa yang kita perlu cermati ialah agenda-agenda yang merosakkan ummat yang tidak lagi dilihat sebagai maksiat. Bahkan kezaliman ini disangka sebagai satu keharusan yang tak wajar dihalang.

Membiarkan kezaliman atas nama taat

Apa yang terjadi hari ini apabila sekularisma dan liberalisma melancarkan agenda agenda mereka, kita yang mampu mengutarakan hukumnya harus sedangkan tidak mencermati kesan kesannya.

Contohnya program berbuka puasa di gereja atas alasan mesra semua agama, berlembut dengan LGBT atas alasan dakwah, menjaga kepentingan agama-agama lain daripada agama sendiri dan sebagainya.

Jika dikaitkan dengan suruhan agama mentaati pemerintah selagimana tidak bercanggah dengan maksiat, apakah kita benar-benar jelas bahawa agenda-agenda sekularism dan liberalism itu adalah maksiat?

Justeru, golongan ini seolah-olah cuba mengembalikan Islam hari ini sepertimana agama Kristian satu ketika dahulu, yang tidak berbicara bab politik, dan menggesa supaya semata mata menjada ibadah fardiyyah semata mata.

Uzlah sebelum sampai masa

Sepertimana yang pernah saya tulis sebelum ini [7] tentang takrif jamaah, dan hadisnya yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, menceritakan tentang wujudnya istilah uzlah. Penghujung hadisnya seperti berikut;

قلت : يا رسول الله فما ترى إن أدركني ذلك؟ قال : تلزم جماعة المسلمين وإمامهم، فقلت : فإن لم تكن لهم جماعة ولا إمام؟ قال : فاعتزل تلك الفرق كلها ولو أن تعض على أصل شجرة حتى يدركك الموت وأنت على ذلك

“Kemudian aku (Huzaifah al Yamani) bertanya lagi: Apa yang kamu perintahkan kepada kami jika keadaan seperti itu berlaku pada kami? Jawab Rasulullah S.A.W: Kamu mesti bergantung dengan jemaah orang-orang Islam dan kepimpinannya.”

“Kemudian aku bertanya lagi: Kalau sudah tidak ada jemaah orang-orang Islam dan kepimpinannya, bagaimana pula wahai Rasulullah? Rasulullah S.A.W menjawab: Tinggalkan semua kelompok-kelompok kesemuanya, dan gigitlah tunjang utama pokok sehingga kamu mati dalam keadaan itu. (berpegang teguh dengan prinsip Islam)”

Mereka yang terkesan dengan serangan sekularism, kadangkala merasakan berputus asa dan menganggap sudah tidak ada jamaah. Lalu mereka terus menyepi dengan melakukan uzlah, berpandukan hadis ini.

Sedangkan tafsiran jamaah oleh para ulamak [7] sudah dimuatkan di dalam karangan mereka, secara jelas menunjukkan bahawa realiti hari ini jamaah itu masih ada, dan belum sampai masanya lagi untuk melakukanuzlah.

Uzlah yang membawa putus asa, bukan penjagaan diri

Antara penyakit yang diceritakan oleh Sayyid Muhammad Nuh di dalam kitabnya آفات على الطريق meletakkan bahawa uzlah juga merupakan salah satu penyakit di jalan dakwah.

Melalui catatan beliau, antara hasil uzlah yang yang berpenyakit ini menghasilkan putus asa, bukanlah melahirkan kesungguhan menjaga diri dalam situasi tiada jamaah.

Mereka terkesan dengan serangan sekularism bahawa masyarakat sudah rosak, disebabkan kerosakan pemerintah. Lalu sekular membuat tawaran kepada orang-orang Islam untuk menjaga diri sendiri dan jangan campuri urusan pemerintahan.

Maka, pemerintah yang rosak akan terus selesa dengan kerosakannya tanpa dikacau dan digugat kerana orang-orang yang baik sudah menyembunyikan diri, menyepi di dalam gua dan rumah.

MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL, Khamis 29 Ogos 2019, Kuala Nerang, Kedah – HARAKAHDAILY 1/9/2019

[1] https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2863963790312029&id=100000953077134

[2] Al Qaradhawi, الإسلام والعلمانية وجها لوجه

[3] Surah al Baqarah (170), Surah al Maidah (104)

[4] Hakikat Kenabian Nabi Muhammad SAW (Syarah Jauharah Tauhid bahagian Kenabian) karangan Muhammad Mujahid bin Ir Hj Mohammad Fadzil, terbitan Mauleed Publishing

[5] Musonnaf Ibn Abi Syaibah, Kitab al-Maghazi (35947)

[6] Ayat 59 Surah an Nisa dan Hadis Shahih Bukhari 693, 2957 dan 7144, Hadis Shahih Muslim 1839 dan lain lain

[7] https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1462469310461491&id=100000953077134

- Advertisement -