Quran Hour Merdeka satukan Muslimat-Wanita

- Advertisement -
PERMATANG PAUH: Muslimat PAS Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama Muslimat PAS Kawasan Permatang Pauh turut mengambil bahagian dalam penganjuran Malaysia Quran Hour bertempat di Masjid Batu, di sini kelmarin.
 
Ia merupakan program interaksi dengan al-Quran yang dijalankan secara serentak di seluruh negara bersempena Hari Kebangsaan Ke-62 di mana terdahulu dilancarkan di peringkat dunia sejak beberapa tahun lalu.
 
Bertema “Meng-Qurankan Bangsa, Mengikhlaskan Ummah”, ia bertujuan mengajak masyarakat khususnya Muslimat agar sentiasa membaca, memahami dan mengamalkan al-Quran dalam kehidupan. 
 
Program juga bertujuan menerapkan budaya cintakan  majlis ilmu sehingga menghasilkan masyarakat yang berilmu dan bertamadun mengikut acuan Islam.
 
Ketua Lajnah Dakwah Muslimat PAS Pulau Pinang, Maziah Jamaludin mengharapkan agar program ini menjadi pencetus kepada masyarakat untuk sentiasa berdamping dengan al-Quran  setiap hari.
 
Majlis dimulakan dengan solat Hajat, diikuti bacaan zikrullah dan munajat AKIFI yang dipimpin oleh Ketua Muslimat PAS Permatang Pauh, Ustazah Norhapiza Saad.
 
Seterusnya majlis diteruskan dengan bacaan al-Quran dari surah al-Fatihah, al-Baqarah  dan  al-Kahfi oleh kira-kira 100 peserta muslimah terdiri daripada Muslimat PAS dan juga Wanita Umno.
 
Ustazah Norhapiza menyeru para muslimah agar sentiasa bermujahadah dan bersungguh untuk istiqamah menjayakan Munajat AKIFI  dan meluangkan masa bersama al-Quran bukan pada masa-masa tertentu sahaja.
 
Naib Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh, Norani Hashim mengakui melalui pengisian program agama seperti ini dapat menyatukan seluruh muslimah dalam landasan agama yang benar seterusnya dapat membina akhlak dan sahsiah diri.
 
Seterusnya tadabbur surah al-Kahfi disampaikan oleh Ustaz Mohamad Fawwaz Md Jan yang mengingatkan muslimah agar menjadikannya amalan harian dalam menghadapi dunia akhir zaman yang penuh fitnah dan cabaran.
 
Beliau turut menekankan agar menjadikan akhirat sebagai tujuan hidup kerana orang yang berakal ialah sentiasa memikirkan akhirat dengan segala hal dan pekerjaannya akan dijadikan sebagai bekalan di akhirat. – HARAKAHDAILY 1/9/2019
IMG 20190902 WA0011
- Advertisement -