Perkukuh institusi keluarga dengan al-Quran

- Advertisement -

BANGI: Seluruh negara telah bergema dengan lingkaran tadarus surah al-Kahfi mengisi nuansa Malaysia Quran Hour 2019 yang diadakan serentak pagi kelmarin.

- Advertisement -

Muslimat PAS Bangi juga tidak ketinggalan menjayakan program ini yang dianjurkan oleh Biro Muslimat Surau Al Ehsan, Seksyen 2, Bandar Baru Bangi bersama Komuniti BangiKu, di sini.

Ketua Muslimat PAS Bangi, Hamsatul Hamzah berkata, program kesinambungan daripada World Quran Hour ini membawa tema “Solusi Cabaran Sejagat” berpandukan ibrah daripada surah al-Kahfi.

Tidak terhenti di surau dan masjid sahaja, beliau juga mengajak para ibu bapa memainkan peranan dalam membudayakan tadarus dan tadabbur al-Quran secara berjemaah di rumah.

“Mak dan ayah kena ajak anak-anak berkumpul membaca al-Quran bersama-sama, ajak cucu-cucu juga supaya kita dapat membudayakan program ini dalam keluarga,dapat menarik keberkahan al-Quran ke dalam rumah,” ujarnya lagi.

Cabaran dunia tanpa sempadan juga menyebabkan institusi kekeluargaan kini semakin terhakis sifat kasih sayang dan toleransi akibat jauh daripada panduan al-Quran.

Cetusan idea penganjuran Malaysia Quran Hour oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas ini telah masuk kali kelima bertempat di Masjid Putra, Putrajaya sebagai lokasi perdana bersempena sambutan Hari Kemerdekaan.

Kempen Quran Hour ini bakal diteruskan di peringkat negeri, iaitu State Quran Hour pada 31 Disember sempena Tahun Baru dalam kerangka memperbaiki diri dan azam yang benar berpandukan al-Quran. – HARAKAHDAILY 1/9/2019

IMG 20190901 WA0074

- Advertisement -