Memori Merdeka Tuan Guru Presiden PAS

- Advertisement -
MERDEKA ke-62 disambut seluruh rakyat, walaupun dalam ketegangan isu-isu perkauman.
 
Bagi Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, beliau ada cerita tersendiri dalam pengkisahan merdeka, apatah lagi kali ini beliau berkongsi kisah yang mencuit hati. 
 
Memaknai sebuah kemerdekaan tahun ini bagi Ahli Parlimen Marang itu bersama sekumpulan kanak-kanak membawa penonton kepada pengorbanan pejuang untuk bebas dari cengkaman jajahan Barat pada ketika itu. 
 
Rakaman video berdurasi lebih tiga minit itu jelas memberi mesej perpaduan dan kesatuan rakyat Malaysia pada ketika itu demi melihat Malaysia dipimpin sendiri oleh rakyat Malaysia. 
 
Seorang kanak-kanak bertanyakan soalan setelah mendengar laungan Perdana Menteri Malaysia yang Pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, kepada Abdul Hadi mengenai erti kemerdekaan, “Tok Ayah, apa itu Merdeka,” soalnya. 
 
“Merdeka itu kita berjaya halau ‘orang putih’ yang memerintah kita, ‘orang putih’ datang dengan senapang, dengan senjata orang kita lawan. Ada yang mati-mati, orang alim kena tangkap, orang yang kuat agama jadi ketua lawan.
 
“Jadi mula-mula orang Melayu, orang Islam yang lawan, kemudian Cina India pun lawan juga, sama-sama lawan, akhirnya mereka tak tahan, bergaduh tak tahan, mereka setuju dan tinggal negeri ini.
 
“Bila tinggal, kita memerintah sendiri, itu makna merdeka itu, kita memerintah sendiri,” jelasnya beliau panjang lebar.
 
Kanak-kanak kedua pula bertanyakan mengenai memori kemerdekaan beliau pada zaman tersebut, “Tok Ayah, masa kecik dulu, Tok Ayah sambut tak merdeka?” soalnya penuh tanda tanya. 
 
“Iya, sambut, sebab kita gembira kerana negeri kita selamat (dan) ‘orang putih’ dah balik, masa itu, Tok Ayah sekolah rendah lagi, umur 10 tahun,” balasnya. 
 
Penonton dibawa pula dengan erti bendera bagi sesebuah negara dengan soalan seorang kanak-kanak bernama Amirul. 
 
“Tok Ayah, kawan Amirul cakap, kita kena hormat bendera Malaysia, betul ke?” soalnya. 
 
“Betul, kerana bendera ini tanda yang mesti kita muliakan, bendera ini dia ada bulan dan bintang. Bulan bintang ini (merupakan) tanda agama Islam, kita orang Islam kena hormat, warna kuning itu raja. Kemudian jalur-jalur ini (membuktikan) macam-macam bangsa, macam-macam kaum yang sama-sama dengan kita.
 
“Itu tanda orang zaman dulu, sanggup mati pertahankan bendera ini, bendera ini satu benda yang mulia pada kita orang Islam pun begitu,” jelasnya sambil menjelaskan bahawa Nabi Muhammad S.A.W juga berjuang dan turut mempunyai bendera. 
 
Soalan terakhir dari kanak-kanak tersebut ialah mengapa Merdeka mesti disambut dan Abdul Hadi menjelaskan bahawa Hari Kemerdekaan bagi sesebuah negara seolah-olah Hari Kelahiran bagi seseorang.
 
Rakaman tersebut diakhiri dengan nasihat Abdul Hadi kepada rakyat Malaysia sambil melayani kanak-kanak tersebut berhibur menyelesaikan kerja rumah. 
 
“Nabi kita, Muhammad S.A.W bersabda bahawa anak-anak ini adalah kain putih yang bersih, ibu-bapa dan orang tua yang mencorakkan apa dia nak jadi, Islam atau apa, termasuklah dalam memahami erti kemerdekaan.
 
“Sekarang ini dah sampai setengah abad kita merdeka, daripada Malaysia Timur, Malaysia Barat, kita gabung semua sekali (dari) berbelas buah negeri, dan (dari) berbagai kaum (dari) berbagai agama, Islam agama Persekutuan.
 
“Dan kita boleh hidup dalam keadaan harmoni, aman, alhamdulillah, keadaan ini perlu kita kekalkan. Pertahankan agama, pertahankan perpaduan, pertahankan kemerdekaan,” ujarnya.
 
Rakaman tersebut dirakamkan bersempena Malaysia menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-62 tahun ini dengan mendapat lebih 170,000 tontonan dan 9,400 perkongsian di Facebook. – 
HARAKAHDAILY 1/9/2019
- Advertisement -