Perutusan DUPP: Merdeka dengan penyelesaian Islam

- Advertisement -

FIRMAN Allah S.W.T dalam Surah Al An’am ayat 153:

- Advertisement -

وَأَنَّ هَٰذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ ۖ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِ ۚ ذَٰلِكُمْ وَصَّاكُم بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

“Dan sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang lurus, maka hendaklah kamu menurutnya dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain daripada Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) memisahkan kamu daripada jalan Allah, Itulah yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa”

Alhamdulillah, marilah sama-sama kita panjatkan kesyukuran kepada Allah S.W.T atas nikmat kemerdekaan negara kita yang kali yang ke 62 tahun ini.

Kemerdekaan adalah suatu nikmat yang sangat diidamkan oleh setiap insan di dunia ini. Manakala penjajahan dan perhambaan pula adalah sesuatu yang menyakitkan. Justeru itu, Islam mengarahkan agar setiap manusia hidup dalam keadaan merdeka.

Kita perlu memahami kemerdekaan yang sebenar dalam kacamata Islam, iaitu seperti apa yang pernah diucapkan oleh Rub’i bin ‘Amir kepada Panglima Rustam: “Allah mengutuskan kami untuk mengeluarkan sesiapa yang Ia kehendaki, daripada perhambaan kepada manusia kepada perhambaan hanya kepada Allah SWT, daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat”.

Dalam konteks negara yang kita cintai, kita telah melalui tempoh penjajahan yang panjang selama hampir 450 tahun dibawah pelbagai kuasa penjajah sehingga terbentuknya Malaysia pada 1963. Sepanjang tempoh ini, kebangkitan pelbagai golongan rakyat menentang penjajah terutamanya ulamak dapat disaksikan dalam sorotan sejarah. Perjuangan tokoh-tokoh ulamak hebat seperti Tok Janggut, Abdul Rahman Limbong, Syed Sheikh Al-Hadi, Sheikh Tahir Jalaluddin, Dr Burhanuddin Al-Helmy, Ustaz Abu Bakar Al-Bakir, Dr Zulkifli Mohamad dan ramai lagi perlu dijulang dan ditonjolkan dalam perjuangan kemerdekaan negara. Kita perlu memastikan semangat kemerdekaan kita  diisi dengan acuan dan penyelesaian Islam.

Realiti yang boleh disaksikan pada hari ini, negara dihambat dengan pelbagai masalah yang mencengkam rakyat seperti kos sara hidup yang membebankan, ekonomi yang lemah, keselamatan dan yang paling ketara, isu perpaduan kaum yang semakin rapuh. Kita juga menyaksikan bagaimana realiti yang dihadapi oleh pendakwah-pendakwah dan pejuang-pejuang agma yang menghadapi pelbagai bentuk cabaran dan ancaman moden dalam melaksanakan tugas-tugas dakwah dan memperkasakan agama Islam.

Justeru, dalam kesempatan ini, Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) ingin menawarkan penyelesaian Islam yang telah terbukti memberikan keadilan dan keamanan kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama di sepanjang sejarah Tamadun Islam yang memerintah sebahagian besar dunia selama ribuan tahun. Pembentukan kemerdekaan melalui penyelesaian Islam seperti ini dibuktikan oleh Nabi Muhammad SAW yang memimpin Negara Islam Madinah. Sejak terdirinya Madinah, cahaya Islam telah menerangi seluruh alam sehingga tempiasnya bersinar menyuluh kegelapan Eropah yang tenggelam dalam kezaliman Feudalisme dan Gereja.

Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) juga menyeru untuk kita sama-sama mengisi kemerdekaan ini dengan memperkasa dan mendaulatkan Islam itu supaya menjadi agama yang memerintah bukan diperintah dan bukan mengikut sistem yang diwarisi zaman penjajah. Seluruh rakyat Malaysia dipelawa untuk bersama dengan penyelesaian Islam yang dikemukakan PAS dan keadilan Islam di atas semangat ukhuwwah ke arah membina Malaysia yang lebih baik dengan petunjuk dari Allah Tuhan sekalian alam.

Akhir sekali, Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan kali ke-62 kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan bangsa. Mudah-mudahan Allah S.W.T memberkati kita semua

“Ulamak Memimpin Penyelesaian Islam”

YB DR NIK MUHAMMAD ZAWAWI SALLEH
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
Bertarikh: 30 Zulhijah 1440 / 31 Ogos 2019 – HARAKAHDAILY 31/8/2019

- Advertisement -