Penerangan PAS Johor latih jentera media menuju PRU

- Advertisement -

BAKRI: Lajnah Penerangan dan Media Baru PAS Kawasan Bakri telah menganjurkan Bengkel Asas Penulisan Berita yang dilangsungkan dengan jayanya di Dewan Madrasah Thohiriah, di sini semalam.

- Advertisement -

Program dengan kerjasama Lajnah Penerangan Dewan Muslimat PAS Negeri Johor dan Jabatan Penerangan PAS Johor ini telah dihadiri 25 peserta dari 11 Kawasan.

Ianya diadakan bermatlamat untuk mengasah pengetahuan serta kemahiran penulisan khususnya berkaitan pelaporan berita, selain menyediakan persediaan jentera media ke arah PRU15.

Yang Dipertua PAS Bakri, Ustaz Kamalulnizam Mohd Suhut dalam aluannya mengajak peserta agar mengambil peluang sebaiknya untuk belajar teknik penulisan berita seterusnya menjadi pelapor aktiviti parti.

“Program PAS memang banyak dilaksanakan, tetapi malangnya tiada berita yang dihebahkan menyebabkan seolah-olah PAS Kawasan tidak melaksanakan sebarang aktiviti. Justeru saya amat mengharapkan selepas bengkel ini nanti,  berita-berita PAS Kawasan akan banyak dilaporkan,” katanya.

Seru beliau, semua aktiviti yang dianjurkan perlu dihebahkan kepada masyarakat bagi mezahirkan PAS adalah parti dakwah dan sekali gus menarik sokongan masyarakat kepada PAS.

Menurut Ketua Penerangan PAS Johor, Rosman Kemin, bengkel latihan seperti ini akan dilaksanakan secara berkala oleh Lajnah Penerangan bagi melatih para amilin di seluruh peringkat.

Manakala Ketua Penerangan Muslimat PAS Johor, Hafsah Abd Rahman pula berharap bengkel ini melahirkan wartawan yang aktif bagi setiap kawasan melonjakkan PAS Johor di persada media.

Pembentangan disampaikan Pengarang Harakahdaily, Ustaz Izwan Abdul Halim yang mendedahkan peserta empat slot penting iaitu Operasi Komunikasi Strategik, Asas Pemberitaan, Pengurusan Isu dan Kenyataan Media.

Dalam bengkel ini asas setiap peserta dibimbing dan diuji menulis dengan format standard secara praktikal menghasilkan pelaporan masing-masing, serta sesi cambah idea untuk kenyataan media rasmi.

Ketua Penerangan Muslimat PAS Bakri, Ruhaizah Ahmad mengulas, pelaksanaan program ini membantu peserta untuk lebih giat berkarya serta menyampaikan maklumat aktiviti kawasan masing-masing.

Beliau juga memaklumkan akan meneruskan siri lanjutan bengkel ini  dengan slot Propaganda Media yang khas diadakan nanti kepada pasukan media calon-calon bagi menghadapi PRU15.

Hadir sama mengikuti seluruh sesi bengkel ini adalah Ketua Dewan Muslimat PAS Bakri, Ustazah Normala Ali dan diakhir bengkel para peserta telah diberikan sijil masing-masing. – HARAKAHDAILY 31/8/2019

- Advertisement -