Merdeka: Betulkan mentaliti, bangunkan negeri

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengingatkan rakyat Malaysia amnya dan khususnya kepada rakyat Terengganu, agar mengucapkan rasa syukur di atas kemerdekaan negara ke-62 tahun.

- Advertisement -

Kata beliau, sebagai rakyat yang cintakan negara ini sewajarnya mengucapkan rasa syukur kerana diberi kesempatan mengecapi nikmat kemerdekaan tersebut.

“Menelusuri sejarah kemerdekaan negara, umum mengetahui pahit getir yang telah dilalui oleh pejuang terdahulu untuk membebaskan negara. Tidak perlu dihuraikan lagi, kerana pengorbanan mereka sudah terpahat kukuh dalam lipatan sejarah kemerdekaan.

“Hasilnya, pelbagai pencapaian dan kejayaan yang telah dirasai dan dinikmati hasil daripada perjuangan mereka.  

“Tema Hari Kebangsaan 2019, ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’ yang digariskan memberi seribu satu makna untuk kita hayati.

“Ianya menuntut kita membuat penilaian semula sejauh mana negara sudah merdeka. Adakah kemerdekaan yang dikecapi ini sekadar kemerdekaan fizikal atau sebaliknya,” katanya dalam perutusan sempena Hari Kebangsaan 2019.

Namun, kata Menteri Besar itu hakikatnya, minda dan pemikiran sebahagian generasi hari ini masih dijajah dan terbelenggu.

Menurut beliau, terdapat elemen yang merosakkan negara seperti rasuah, penyalahgunaan media sosial, salah guna kuasa, gejala sosial dan seumpamanya semakin berleluasa sekali gus merosakkan dan mencacatkan erti kemerdekaan yang diperolehi.  

“Dalam menghadapi cabaran masa depan yang lebih besar, hala tuju dan penyelesaian perlu dilakukan agar maruah dan kedaulatan negara dapat dipelihara sepanjang masa. Antaranya, memperkasakan semula Rukun Negara.

“Seterusnya, memperbetulkan ideologi dan mentaliti bahawa kita semua adalah warganegara Malaysia, walaupun berbeza agama dan bangsa serta menghormati Perlembagaan sebagai struktur perundangan tertinggi negara,” tegasnya.

Justeru, katanya dalam konteks kerajaan negeri pula, ‘Ikrar Bebas Rasuah’ adalah salah satu contoh komitmen untuk meningkatkan tahap integriti dalam pentadbiran.

Tambah beliau, mengumpulkan semua kaum dalam Program Dialog Harmoni, mengadakan program perpaduan ummah dan sebagainya ke arah memupuk perpaduan yang jitu dalam kalangan umat Islam dan masyarakat majmuk di negara Malaysia khususnya negeri Terengganu.

“Akhir kata, saya menyeru agar sama-sama kita hayati erti sebenar kemerdekaan dan membentuk kesatuan, tenaga dan pemikiran dalam diri demi agama dan negara.

“Usahalah bersungguh-sungguh untuk memajukan diri serta membantu masyarakat sekeliling mencorak masa depan untuk mencapai kemajuan serta kesejahteraan dunia dan akhirat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 31/8/2019

- Advertisement -