Hari Merdeka Ke-62: Menyerap semangat Hijrah

- Advertisement -

ULANGTAHUN Kemerdekaan kali ini jatuh sehari sebelum 1 Muharram 1441H, kalendar bagi umat Islam sedunia.

- Advertisement -

Alhamdulillah Allah S.W.T menghadiahkan nikmat kemerdekaan  yang sangat bererti bagi semua anak watan Malaysia pada 31 Ogos 1957, tarikh keramat yang telah melakar sejarah tanah air. Tanah Melayu mendapat kemerdekaan daripada penjajahan British, jadilah Malaysia sebuah negara yang berdaulat.

Tahun ini, Kemerdekaan Malaysia mencapai 62 tahun dan sudah semestinya kita telah merakamkan pelbagai sejarah dan memperoleh kemajuan serta pengalaman naik turunnya sesebuah negara yang membangun.

Generasi dahulu merintis jalan kemerdekaan dengan darah dan air mata. Generasi pasca Merdeka pula bertanggungjawab untuk menjaga kedaulatan, perpaduan dan keharmonian yang dikecapi ini.

Justeru itu, berbekalkan semangat dan ibrah dari peristiwa Hijrah Rasullah S.A.W, kita dapat memerhatikan satu semangat baru yang berkobar di hati umat Islam zaman itu untuk melihat satu perubahan baru yang segar dan membawa misi tauhid pembimbing manusia.

Merdeka yang sebenar ialah merdekanya jiwa daripada belenggu jahiliyah dan toghut bukan hanya bebas daripada penjajah semata-mata. Mensyukuri nikmat kemerdekaan membawa jiwa kembali kepada pencipta. Melaksanakan perintah-Nya dan mengabdikan diri kepada-Nya.

Allah S.W.T berfirman:

“Barangsiapa yang ingkar kepada Toghut, dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah berpegang (teguh) pada tali yang sangat kuat yang tidak akan putus. Allah Maha mendengar, Maha Mengetahui.”
(al-Baqarah: 256)

Tema “Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih” memberikan satu gambaran besarnya tanggungjawab rakyat untuk menjaga Negara ini daripada segala anasir yang boleh merosakkan keharmonian Negara.

Sesuai dengan firman Allah S.W.T:

“Adakanlah perjalanan di muka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu. kebanyakan dari mereka itu adalah orang-orang yang mempersekutukan Allah.” 
(ar-Rum: 42)

Oleh itu, Muslimat PAS Malaysia menyeru seluruh kepimpinan dan rakyat Malaysia untuk menghayati makna kemerdekaan negara dengan mengukuhkan urus tadbir sesebuah negara mengikut lunas perlembagaan negara yang terpateri. Harmonikan juga makna beragama di kalangan rakyat agar kita semua terpandu mengikut acuan wahyu.

Akhir sekali, Dewan Muslimat PAS Malaysia mengucapkan Selamat Hari Kemerdekaan Kali Ke-62 kepada seluruh rakyat Malaysia. Marilah bersama membina Baldatun Tayyibatun Warobbun Ghafur, Negara yang baik dan diredhai Allah S.W.T.

“Islam Memimpin, Wanita Sejahtera”

YB SENATOR USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia/Wilayah Persekutuan
Ahli Dewan Negara
31 Ogos 2019 l 30 Zulhijjah 1440H – HARAKAHDAILY 31/8/2019

- Advertisement -