Doa Negara Merdeka 1957

- Advertisement -

APABILA kita menyambut kemerdekaan negara, pastinya terbayang di ingatan kita, peristiwa bersejarah laungan “Merdeka” oleh Tunku Abdul Rahman pada tanggal 31 Ogos 1957.

- Advertisement -

Namun ramai yang tidak mengetahui, peristiwa yang sangat bersejarah ini turut menyaksikan suatu upacara yang amat bermakna, iaitu laungan Azan dan bacaan Doa yang dipimpin oleh Al-Marhum Syeikh Haji Ahmad bin Muhammad Said, Mufti Negeri Sembilan Darul Khusus.

Umpama menyambut ‘kelahiran’ sebuah negara yang tercinta, generasi muda pada hari ini wajar menghayati setiap bait ungkapan Doa yang dibaca, kerana ianya menzahirkan hasrat dan cita-cita generasi terdahulu terhadap keadilan, kemakmuran, kesejahteraan, dan keselamatan negara:

1. Pemimpin Yang Adil, Memelihara Agama

Ya Allah! Anugerahkanlah taufiq kepada sekalian pentadbir awam, jemaah Menteri, para Sultan dan Raja, serta pemimpin negara bagi memelihara kehendak-kehendak Agama, memelihara hak keistimewaan Umatnya, menegakkan keadilan dalam undang-undang dan berpegang kepada keindahan Islam.

2. Bangsa Melayu Yang Maju

Ya Allah! Jadikanlah mereka agen perubah hal keadaan orang-orang Melayu, agar bangsa ini meningkat maju dan kehadapan sehingga tercapai cita-cita yang diidam-idamkan.

Ya Allah! Bantulah bangsa Melayu, bimbinglah serta jadikanlah kami menjadi sebaik-baik manusia. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus, jalan yang telah Engkau kurniakan kepada umat Islam yang telah menikmatinya, bukan sebagaimana orang yang Engkau murkai dan bukan juga orang yang sesat.

3. Kesejahteraan Hidup, Keharmonian Kaum

Ya Allah! Hindarilah kami daripada sebarang kesusahan, sejahterakanlah kami daripada segala yang boleh memudharatkan, peliharalah kami daripada segala buruk lagi keji dan tunaikanlah segala yang diharap dan dihajati.

Harmonikanlah antara kami dan bangsa lain selain kami, hingga kami sentiasa dalam keamanan dan keselamatan. Bebaskanlah kami dengan segera daripada segala kepayahan dengan rahmatMu wahai Tuhan yang Maha Merahmati segala yang penyayang.

4. Keselamatan Negara

Ya Allah! Jadikanlah bagi bangsa kami, kaum yang lain dan negara ini penjaga daripada segala bala, yang menghalang kami dan mereka daripada sebarang pencerobohan. Bantulah kami menewaskan segala musuh dan orang yang dengki. Zahirkanlah kemarahan-Mu dan kemurkaan-Mu kepada orang yang melampau dan yang melakukan kerosakan.

Selamat menyambut kemerdekaan negara kali ke-62.

#NegaraMerdeka
#AnakMudaMerdeka

SYAHIR SULAIMAN
31 Ogos 2019 – HARAKAHDAILY 31/8/2019

Sumber: http://www.muftins.gov.my/index.php/arkib2/tareqat-tasauwuf/163-himpunan-doa-dan-zikir/562-doa-syeikh-ahmad-bin-mohd-said-mufti-pertama-pada-hari-kemerdekaan-1957

- Advertisement -