Bebaskan akidah, syariat dan minda dari dijajah

- Advertisement -
IPOH: Kemerdekaan seorang Muslim adalah apabila jiwanya hamba kepada Allah, serta bebas mengamalkan kepatuhan kepada Allah dalam seluruh aspek kehidupan tanpa rasa takut mahupun terbelenggu.
 
Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Negeri Perak, Ustazah Hasna’ Ab Somad berkata, kemerdekaan pada sudut Islam bukan sekadar membebaskan tanah air dari penjajah akan tetapi akidah, syariat dan minda juga haruslah bebas dari dijajah. 
 
“Merdeka berpaksi pada konteks memilih pemimpin. Sebagai umat Islam kita tidaklah seharusnya mencari pemimpin selain pemimpin yang diredhai oleh Allah yang bercirikan sifat Al-Amin dalam kepimpinannya. 
 
“Begitu juga dalam berhukum. Tidaklah seseorang itu berhukum melainkan hanya menggunakan hukum yang telah di tetapkan Allah. Apabila hukum Islam terabai, maka bercelarulah amanah yang dipertanggungjawabkan itu. 
 
“Kemerdekaan tidak tercapai apabila tanah air sahaja merdeka, namun dalam menegakkan hukum Islam, syariat Islam, undang-undang Islam hatta mempertahankan penceramah Islam, kita gagal mempertahankannya,” ulasnya.
 
Sempena bulan kemerdekaan yang bakal diraikan ini beliau menyeru agar semua umat Islam bersatu padu demi masa depan dan memelihara maruah Islam selaku agama Persekutuan di Malaysia ini. – HARAKAHDAILY 31/8/2019
- Advertisement -