Penurunan OPR semalaman perlu dilakukan penuh hati-hati

- Advertisement -

JAWATANKUASA Polisi Kewangan Bank Negara Malaysia (BNM) yang bermesyuarat pada 13 Julai 2019, dalam langkah yang mengejutkan, telah pun menurunkan Kadar Asas Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3 peratus. Ini berlaku susulan daripada langkah yang sama yang telah dilakukan oleh beberapa bank pusat dunia termasuk Amerika Syarikat (AS), China dan India, dan juga bank-bank pusat serantau seperti Indonesia, Filipina dan Australasia.

- Advertisement -

Rezab Persekutuan AS telah menurunkan kepada julat 2 – 2.25 peratus, yang pertama dalam sedekad, manakala People’s Bank of China menetap Kadar Utama Pinjaman (LPR) pada 4.25 peratus.

Susulan tindakan daripada BNM ini, pasaran terus membuat spekulasi bahawa BNM akan terus menurunkan OPR dalam akhir suku ketiga 2019 dan juga dalam suku pertama 2020.

PAS Pusat melalui Lajnah Ekonomi sedang memerhati dan mengikuti perkembangan pasaran ini dengan rapat dan penuh hati-hati.

Bila mana BNM menaikkan OPR sebelumnya, kami dalam kenyataan bertarikh 26 Januari 2018, telah pun menyatakan pandangan bahawa kenaikan tersebut tidak perlu dan dibuat bukan dalam keadaan terdesak.

Hujah kami adalah atas asas bagi memberi ruang kepada pengguna dan pasaran untuk membuat koreksi disebabkan keadaan ekonomi yang masih tidak menentu pada waktu itu.

Untuk kali ini, walaupun kami melihat penurun OPR ini sebagai positif namun melihat kepada senario pasaran sekarang kami berpandangan semua pihak terutamanya BNM, perlu mengambil sikap berhati-hati.

Ini berdasarkan beberapa faktor:
1. Ruang regim baharu OPR ini haruslah digunakan sepenuhnya oleh pengguna dan industri untuk berbelanja secara berhemah dan meningkatkan pelaburan oleh pihak industri.

Ini bagi mengelakkan berlaku ‘liquidity trap’. Disamping itu pihak bank haruskah meningkatkan lagi pemberian pinjaman bagi menyokong dan meningkatkan agregat permintaan.

2. Tabungan juga haruslah diteruskan. Walaupun pulangan akan terjejas namun ianya boleh menyokong nisbah pinjaman deposit (LDR) untuk terus berada dalam regim yang mampan dan terlalu tinggi yang seterusnya menyokong permintaan.

Pada keadaan pasaran sekarang kadar pertumbuhan deposit masih mengatasi kadar pertumbuhan pinjaman.

3. Walaupun tindakan ini boleh mengurangkan tekanan inflasi namun dalam masa yang sama ianya juga boleh menjejaskan nilai ringgit.

Ringgit yang lebih rendah mampu menyokong ekspot namun ianya perlu dilakukan dengan penuh hati-hati dan bukan untuk jangka masa panjang bagi mengelakkan kecekapan ekonomi Malaysia terjejas.

Apa yang lebih penting untuk dilakukan dalam masa panjang, oleh pihak kerajaan sekarang terutamanya, ialah membetulkan semula struktur ekonomi Malaysia yang masih dalam keadaan salah.

Struktur yang masih bergantung kepada input modal dan bukannya input buruh haruslah dibetulkan segera sebagai penyelesaian jangka panjang. Hanya dengan struktur ekonomi yang betul sahaja maka masalah yang membelenggu pasaran, terutama kos sara hidup yang tinggi, boleh diselesaikan.

Sudah tentu bagi melaksanakan pembetulan struktur ekonomi sekarang memerlukan pemboleh-pemboleh yang lain seperti asas cukai yang lebih komprehensif dan adil, peningkatan produktivi, mengembalikan keyakinan pasaran dan sebagainya.

MAZLI NOOR
Timbalan Pengerusi
Lajnah Ekonomi, Hartanah & Pembangunan Usahawan PAS Pusat –HARAKAHDAILY 30/8/2019

- Advertisement -