Siapa rasis?! Siapa keliru?!

- Advertisement -

POLEMIK perkauman semakin berapi-api. Pertikaman lidah di media sosial menuduh siapa lebih ‘racist’ sukar dibendung lagi. Kadang kita dapat lihat menuduh lebih ‘racist’ daripada yang dituduh. Kitaran kekeliruan memuncak.

- Advertisement -

Kekeliruan wujud apabila persimpangan antara ‘racism approach’ dan‘racial approach’ yang tak sedari ramai. Ada pihak yang sebenarnya bukanlah perkauman tetapi dilabel perkauman hanya kerana menggunakan kata-kata yang bersentimen semangat kebangsaan atau kaum apabila menghadapi pihak ‘racist‘ lain yang melampau bermain api menghina identiti kebangsaan.

Sebagai tindak balas akhirnya mereka menyatakan bahawa pendekatan‘racist’ perlu dalam menghadapi suatu puak lagi yang hakikatnya juga ‘racist’, atau lebih tepat closet racist’. Apa yang mereka maksudkan mungkin ‘racial approach’. Cuma mereka mungkin keliru atau dikelirukan oleh pihak ‘closet racist’ yang berpropaganda.

Dengan hanya melihat dua persimpangan ‘racism approach vs racial approach’ ini adakah sudah memadai untuk menetapkan prinsip dan pendirian kita? Oleh yang demikian, saya melihat ‘inclusive approach’perlu masuk dalam senarai perbincangan bagi menentukan pendirian dan tindakan.

Walaubagaimanapun, ‘inclusive approach’ tak wajar dibuat secara semberono. Mengapa saya berkata ‘inclusive approach’ tak boleh semberono? Apakah titik perbezaan ‘racism approach’ dan ‘racial approach’? Apakah pilihan terbaik ‘inclusive approach’, ‘racial approach’ atau ‘racism approach’?

Baiklah ikuti penjelasan saya. 

Litaa’rafu dan Sunnatullah

Perbezaan lelaki wanita, berbangsa-bangsa pelbagai suku supaya kita saling kenal mengenali. Bukan untuk saling berbangga-bangga dengan latar masing-masing. Kemuliaan dalam Islam adalah berasakan takwa.

Bahkan bukan juga untuk mengambil jalan mudah melawan kejadian alami (Sunnatullah) untuk memadam segala identiti demi sebuah idealisme kononnya demi persamaan secara total sebagai sebuah solusi keharmonian hidup bermasyarat dan bernegara.

Pokoknya, ada perkara yang boleh diselaras dan ada perkara yang harus dibiarkan kepelbagaian dengan sikap saling berkenalan serta hormat menghormati yang akhirnya tercipta keharmonian bersama hikmah keindahannya.

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ¬ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ [٤٩:١٣]
“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”
(al-Hujuraat:13)

Tiada ruang untuk ‘Racism Approach’

Mengikut perbahasan Ibnu Khaldun ‘racism approach’ ini dikenali sebagai‘Asobiyah Jahiliyah’. Lebih mudah difahami adalah dengan wujudnya diskriminasi berasaskan bangsa atau etnik. Sebab itu pendekatan perkauman ini juga dikenali sebagai pendekatan diskriminasi etnik (ethnic discrimination approach).

Perbahasan pendekatan perkauman ini boleh dipanjangkan bukan sekadar melihat pada retorik umum selapis dipermukaan makna.

Persoalan perkauman tidak tepat jika hanya berdasarkan pada lapisan permukaan sahaja. Ia harus dilihat daripada unsur-unsur (substance) yang membentuknya dan intipati (essense) atau isi yang mempunyai makna yang terselindung daripada dalam bagi sesuatu subjek.

Kita mungkin boleh tertipu di sebalik manis kata-kata manis bibir pihak yang mengaku diri inklusif, namun hakikatnya merekalah ‘bapak’ perkauman sejati daripada dalam intipati sanubari yang lebih menyerlah. 

Bahkan unsur-unsur perkauman mereka yang asalnya terselindung kian lama terserlah apabila telah mempunyai keyakinan tertentu untuk menonjol diri atau setelah mereka mempunyai genggaman kekuasaan.

Golongan ini dalam karya-karya sains sosial dikenali sebagai ‘closet racist’. Iaitu secara literalnya adalah individu yang berfikiran perkauman yang sedang menyorok dalam almari pakaian (closet). Kelompok ‘closet racist’ sekali imbas tidak mempersembahkan perkauman. 

Mereka begitu lunak dalam kata, namun mereka menterjemahkan secara halus fikrah perkauman mereka melalui tindakan-tindakan yang dimanipulasi gaya akademik ke dalam lingkungan penguasaan mereka.

Contohnya jika mereka menguasai kerajaan, maka agenda pembangunan yang disalut dengan makna kemajuan dan peradaban akan beracuankan diskriminasi secara perkauman.

Orang yang naif, lurus dan malas berfikir sentiasa tertipu dengan kelicikan‘closet racist’, bahkan mereka juga menjadi pembela kepada agenda perkauman secara tidak sedar ketika mana di bibir mengakui bahawa mereka anti-perkauman dan seraya mendabik dada bahawa merekalah pejuang keadilan sejati.

Alangkah malangnya secara hakikat, mereka ini hanyalah ‘terompah’ si‘closet racist’.

Perkauman adalah perkara yang dilarang Islam:

ﻭﻣﻦ ﻗﺘﻞ ﺗﺤﺖ ﺭاﻳﺔ ﻋﻤﻴﺔ، ﻳﻐﻀﺐ ﻟﻠﻌﺼﺒﻴﺔ، ﺃﻭ ﻳﻘﺎﺗﻞ ﻟﻠﻌﺼﺒﻴﺔ، ﺃﻭ ﻳﺪﻋﻮ ﺇﻟﻰ اﻟﻌﺼﺒﻴﺔ، ﻓﻘﺘﻠﺔ ﺟﺎﻫﻠﻴﺔ
“Barang siapa mati di bawah ‘bendera kebutaan’ (sikap membuta-tuli), marah kerana ashabiyah, berperang kerana asobiyah atau mengajak kepada asobiyah, maka seperti kematian masa jahiliah.”
(HR Ahmad, dan Muslim dengan matan hadis yang berbeza)

‘Racial Approach’ bukan perkauman

‘Racial approach’ sebenarnya pendekatan yang bersifat mengikut keperluan, sifat dan perwatakan sesuatu masyarakat. Bahkan ia akan menjadi lebih praktikal bagi realiti sesuatu masyarakat terutamanya negara yang rencam dengan budaya ketimuran.

Pendekatan secara bersegmen kaum atau etnik bukan semestinya bermaksud diskriminasi etnik atau perkauman. Ibnu Khaldun menamakan pendekatan ini sebagai ‘Asobiyah Islamiyah’.

Pendekatan ini selalu dikelirukan dan disamakan sebagai pendekatan perkauman. Hakikatnya pendekatan bersegmen kaum (‘racial approach’) tak sama dengan pendekatan perkauman (‘racism approach’).

Bagi memahami pendekatan perkauman (asobiyyah) yang berbeza dengan pendekatan bersegmen kaum adalah seperti yang dijelaskan oleh Nabi Muhammad S.A.W dapat difahami menerusi hadis Baginda S.A.W:

“Seorang lelaki (ayah perempuan yang meriwayatkan hadis) bertanya: “Wahai Rasulullah, adakah dianggap ashobiyyah, puak orang yang sayang kepada kaum bangsanya?” Jawab Baginda S.A.W: “Tidak, tetapi ashobiyyah ialah apabila seorang itu menolong bangsanya kepada kezaliman”.”
(Hadis riwayat Abu Daud, Ibn Majah dan sebagainya)

Imam Al-Munawi ketika mensyarahkan perkataan Ashobiyyah lalu berkata: “Iaitu membantu kezaliman…” (rujuk Aun Al-Ma’bud)

Selain itu, pendekatan bersegmen kaum kebiasaannya juga menjadikan ‘tindakan afirmatif’ (affimative action) sebagai salah satu alat dalam mengurus masyarakat. Bahkan ‘tindakan afirmatif’ dalam konteks tertentu menjadi keperluan bagi menjamin keadilan dalam penyusunan masyarakat.

Apakah itu ‘tindakan afirmatif’?

Ia adalah tindakan atau dasar yang memihak kepada mereka yang cenderung mengalami diskriminasi, terutamanya berhubung dengan pekerjaan atau pendidikan. Jadi, tindakan afirmatif adalah suatu bentuk diskriminasi yang bersifat positif demi menjamin keadilan sosial.

Maka, tindakan afirmatif yang sering digunakan dalam pendekatan bersegmen kaum (racial) sering dituduh sebagai perkauman (racism) oleh sebahagian pihak yang keliru atau pentingkan diri. Apapun, tidak dinafikan tindakan afirmatif secara kaum ini mudah bertukar menjadi pendekatan perkauman sekiranya ia dilaksana seiring dengan penindasan kaum lain.

Maka, ia bukan masalah pada konsep ‘pendekatan bersegmen kaum’ tapi permasalahannya pada siapa yang mengurusnya. Ringkas cerita, kalau pemandu Mercedes mabuk, maka jangan disalahkan keutuhan teknologi kereta tersebut.

Ada sebahagian orang terlalu alergik dengan penggunaan pendekatan kaum sehingga sentiasa melihatnya sebagai perkauman. Jika terlalu simplistik mengikut logik semberono mereka, pasti Nabi S.A.W juga mereka anggap ‘racist’ apabila menekankan soal kepimpinan Quraisy, ini adalah ‘racial approach’.

الْأَئِمَّةُ مِنْ قُرَيْشٍ وَلَهُمْ عَلَيْكُمْ حَقٌّ وَلَكُمْ مِثْلُ ذَلِكَ مَا إِذَا اسْتُرْحِمُوا رَحِمُوا وَإِذَا حَكَمُوا عَدَلُوا وَإِذَا عَاهَدُوا وَفَّوْا فَمَنْ لَمْ يَفْعَلْ ذَلِكَ مِنْهُمْ فَعَلَيْهِ لَعْنَةُ اللَّهِ وَالْمَلَائِكَةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ.
“Para imam (pemimpin) adalah dari Quraisy, Mereka memiliki hak atas kamu, dan kamu memiliki hal yang sama. Ketika kamu minta belas kasih mereka memberi belas kasih. Ketika mereka memerintah, mereka adil, dan ketika mereka berjanji, mereka menetapi. Barang siapa dari mereka yang tidak berbuat demikian maka laknat Allah dan Malaikat dan seluruh menusia untuk dia.”
(Riwayat Imam Ahmad bin Hanbal)

Sebuah ilusi ‘Inclusive Approach’

Secara umum pendekatan inklusif dilihat benar-benar dapat menjamin keadilan. Pendekatan ini secara klasiknya adalah tidak menjadikan latar-latar sebagai sandaran asalkan kesaksamaan dapat dilaksanakan.

Pendekatan ini kalau diamalkan secara klasik sebenarnya terlalu ideal. Kadang ada pihak yang obses memperkenalkan idea dan pendekatan ini, sebenarnya tanpa mereka sedari mereka bersifat selektif. Bahkan mereka sekadar mahu menunggang istilah ‘inclusive approach’ demi agenda‘racial approach’ atau ‘racism approach’ tersendiri.

Ramai orang keliru dalam membezakan antara pengamal pendekatan inklusif tegar, sebenar atau sekadar inklusif ‘celup’ yang penuh kepura-puraan. Orang bermentaliti ‘closet racist’ selalunya cenderung mendakwa diri berpendekatan inklusif, sedangkan mereka memilih bulu (‘double standard’).

Kelompok berpendekatan inklusif jadian atau ‘celup’ ini ada juga yang jenisnya paling tegar mengkritik ‘tindakan afirmatif’ melalui pendekatan bersegmen kaum (racial approach).

Namun dalam masa yang sama mereka juga mengamalkan ‘tindakan afirmatif’ untuk segmen yang lain contohnya dalam segmen gender dan segmen orang kelainan upaya.

Secara prinsip jika mereka boleh melakukan diskriminasi positif terhadap segmen gender dan segmen orang kelainan upaya, kenapa atas prinsip yang sama mereka tidak boleh bertoleransi bagi segmen bangsa terdiskriminasi dengan situasi yang ada.

Bilamana terbukti bahawa suatu bangsa majoriti berada dalam jurang yang ketara antara miskin dan kaya, di mana secara umumnya mereka terdiskriminasi dalam pengagihan hasil berkait sosio-ekonomi, apakah tidak wajar bagi keadaan tertentu ‘tindakan afirmatif’ digunakan untuk membantu bangsa tersebut?

Selama mana tindakan afirmatif berpendekatan kaum yang tidak menafikan hak-hak bangsa lain, apakah ini tetap dikira sebagai dasar perkauman atau penindasan?

Apakah dasar yang berlabel inklusif namun berintipatikan agenda ‘closet racist’ tidak dikira suatu perkauman dan penindasan?

Tepuk dada tanya hati, mampukah pejuang inklusif yang ada kini benar-benar berpegang prinsip inklusif sebenar atau hanya sekadar selektif dengan beracuankan ideologi tidak pribumi dan membumi.

Lebih malang jika secara jelasnya mereka mempunyai agenda kesumat‘closet racist’. Persoalan ini jika berjaya dijawab secara telus, maka jawapan tulus ikhlas tersebutlah akan menjadi neracanya dan batu penanda sebenar.

Apa yang dipersoalkan adalah ramaikah pihak yang benar-benar telus dalam mengangkat idea inklusif ini dalam realiti Dunia Timur yang mempunyai kerencaman budaya tersendiri.

Apapun sebenarnya, aplikasi pendekatan inklusif ini diperlukan dengan mengikut keadaan tertentu yang berkesesuaian. Sebenarnya, mana-mana saja pendekatan sama ada mengikut kaum (‘racial approach’) atau menyeluruh (‘inclusive approach’) mempunyai keadaan dan situasi yang membuatkan ia wajar tersendiri, justeru kondusif untuk dilaksanakan.

Keadilan Islam dan keanjalan pendekatan

Hal dikotomi atau persimpangan antara pendekatan bersegmen kaum (‘racial approach’) dan menyeluruh (‘inclusive approach’) ini perlu dinilai secara strategik. Keutamaan yang paling penting adalah keadilan itu ditegakkan dan penindasan itu dihapuskan dan pendekatan perkauman (racism) tetap perlu ditolak tanpa bahas.

Cuma pendekatan bersegmen kaum atau menyeluruh perlu digunakan mengikut keadaan atau konteks bagi kes demi kes. Mana-mana salah satu pendekatan wajar dipilih asalkan sesuatu kes itu bakal memberi natijah yang baik. Pendekatan adalah fleksibel asalkan memberi keadilan Islam yang tidak mengabaikan faktor realiti dan konteks.

Pemikiran simplistik menyatakan bahawa pendekatan inklusif sentiasa baik atau sebaliknya pendekatan eksklusif bangsa juga sentiasa betul adalah tidak wajar ditaksubi. Oleh yang demikian pendekatan tindakan afirmatif atau diskriminasi positif diiktiraf sebagai jalan mencapai keadilan untuk sesuatu konteks.

Pentaksub mana-mana kelompok akan sentiasa cenderung memilih demi kepentingan diri. Mereka akan merekacipta hujah bagi memburukkan mana-mana pilihan yang bukan memberi kepuasan pada mereka.

Sekali lagi, persoalan di sini, bukan soal salah betul pendekatan inklusif atau eksklusif (termasuk pendekatan bersegmen bangsa). Tetapi adalah soal natijah keadilan yang harus diutamakan.

Kekeliruan: Kedangkalan akal dan kejahilan rasional

Pemikiran simplistik dan generalisasi ini kebiasaannya mempercayai bahawa:
a.    pendekatan inklusif mesti sentiasa baik.
b.    pendekatan perkauman disamakan dengan pendekatan bersegmen kaum.

Kenapa ini berlaku? Ini berlaku kerana kedangkalan dalam memperincikan setiap ciri-ciri pendekatan sama ada ‘inclusive’, ‘racial’ atau ‘racism’.

Tindakan secara semberono mencedok perbahasan Barat yang beragenda secara naif tanpa menilai daripada sudut realiti dan pempribumisasian konteks ini akan menyebabkan, kita mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram.

Pendekatan inklusif sehingga menafikan kepelbagaian adalah suatu diskriminasi identiti mengikut pelajaran ayat “lita’arafu”. Inklusif tak bertempat adalah kezaliman, bahkan ia adalah suatu kepura-puraan yang menentang sunnatullah.

Belajar daripada kerosakan dunia moden Barat yang meracuni sistem sosio-kemasyarakatan apabila mengiktiraf idea-idea rasional yang meminggirkan pribumisasi ilmu dan budaya setempat.

Kecelaruan berlaku di Perancis apabila mahu menggunakan rasional akal sepenuhnya untuk memberi wajah kepada pendekatan inklusif. Apabila perkahwinan sesama jenis digazetkan secara sah pada 2013, pada tiada lagi istilah ‘ibu’ dan ‘bapa’ ketika mengisi borang di sekolah. Yang ada hanya parent 1 dan parent 2. Ini kerana label ‘ibu’ dan ‘bapa’ adalah tidak inklusif.

Wow! Kegilaan dan acuan apakah ini?!

Awas! Realiti di sana ianya tidak gila bagi pentaksub pemikiran inklusif sekular akan cuba membebaskan rasional akal sehingga tahap tersebut.

Namun bagi masyarakat Timur yang sebati dengan resam ketimuran, apakah bersedia untuk acah-acah berfikir inklusif sehingga tahap tersebut?

Jika tidak, kenapa harus obses dengan konsep inklusif yang bakal membelakangkan pendekatan “litaa’rafu” yang mengangkat kepelbagaian dan dalam masa yang sama fokus kepada usaha hormat menghormati.

Bukanlah menjadi satu keaiban jika kita memilih kerangka ‘racial approach’ disamping kita konsisten saling hormat menghormati segala garis-garis perbezaan yang ada.

Kesimpulan: Kebenaran itu datang daripada Rabb mu

Kalau ditanya secara ideal, saya cenderung untuk sentiasa memilih pendekatan inklusif disamping menghayati pedoman surah al-Hujurat ayat 13.

Namun, jika apa yang ideal tersebut belum kondusif untuk dilaksanakan atas faktor perbagai jurang-jurang perbezaan yang boleh menjemput ketidakadilan. Maka keadilan lebih diutamakan walaupun menggunakan pendekatan diskriminasi positif (affimative action).

Saya menyimpulkan penjelasan dengan butiran-butiran berikut:
1.    Asas mencari titiak penyelesaian segala pendekatan adalah perlu balik konsep “litaa’rafu” dan kepelbagaian yang wujud adalah‘Sunnatullah’  
2.    ‘Racism Approach’ secara muktamad perlu ditolak secara total kerana junjungan besar Nabi S.A.W mencela kezaliman perkauman.
3.    Tidak wajar ‘Racial Approach’ disamakan dengan perkauman. Ejen propaganda beragenda yang cuba mengelirukan yang melampau perlu diawasi. Selalunya mereka ini adalah ‘closet racist’.
4.    ‘Inclusive Approach’ perlu dilaksanakan secara strategik dan hindari daripada kekeliruan ilusi ejen inklusif ‘celup’. Waspada pada ejen celup yang bersanubari ‘closet racist’.
5.    Asalkan menjamin keadilan, Islam menerima keanjalan pendekatan sama ada ‘racial’ atau ‘inclusive’.
6.    Kebenaran itu datang dari Rabb mu, manusia akan sentiasa cenderung kepada kekeliruan kerana kedangkalan akal dan kejahilan ideologi ciptaan.

Semoga tulisan ini menjadi pencetus wacana mengenai topik penting ini. Menulis adalah untuk belajar. Penulis tidak bebas daripada kesilapan pandangan atau argumentasi. Kebenaran hakiki bukan daripada makhluk-Nya.

الْحَقُّ مِنْ رَبِّكَ فَلاَ تَكُونَنَّ مِنَ الْمُمْتَرِيْنَ
“Kebenaran itu datang dari Rabb mu, maka janganlah sekali-kali kamu termasuk orang yang ragu.”
(al-Baqarah: 147)

MUHAMMAD ZIKRI ISMAIL – HARAKAHDAILY 29/8/2019

- Advertisement -