K’jaan PH Selangor lemah, gagal urus tadbir

- Advertisement -

KUALA LANGAT: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor telah mengadakan wacana Table Talk 2.0 yang diadakan di Restoren Changkir di bawah Markas PAS Batu 8, Sijangkang, di sini semalam.

- Advertisement -

Ia membariskan tiga panel iaitu Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Hanafi Zulkapli dan Ketua Pemuda Umno Selangor, Rizam Ismail serta Naib Presiden GAMIS, Ahmad Shauqi Johari.

Membicarakan pendedahan isu-isu negeri ini, Ustaz Hanafi mengemukakan kegagalan Kerajaan Negeri Selangor menangani masalah air yang masih berlarutan hingga memberi kesan kepada rakyat.

“Isu air ini berlaku sekian lama, malah mantan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim disingkirkan juga kerana isu ini. Sedangkan Tan Sri Khalid di zamannya memikirkan untuk kebajikan rakyat. Namun, apabila beliau disingkir, kerajaan (kini) hanya mementingkan untung politik, rakyat pula merasai kesannya,” bidas beliau.

Sementara itu, Rizam yang juga Ketua Pembangkang Dun Selangor menyifatkan skim-skim kebajikan pernah diberi, tetapi tidak diteruskan kini sebagai kelemahan paling ketara kerajaan negeri.

Bahkan dedah beliau, ada juga yang dihadkan antaranya KISS dengan penerima asal 40,000 tetapi kini diperuntukkan untuk 20,000 penerima sahaja, selain gagal melaksanakan projek telah diluluskan.

Suara wakil mahasiswa pula turut bersetuju bahawa pemerintahan PH lebih teruk walaupun baru setahun lebih mentadbir di mana antaranya boleh diukur dari Manifesto PH yang hanya 30 peratus pelaksanaannya.

Paling teruk bagi Shauqi yang menyentuh sikap pemimpin PH apabila masih di tahap bermentaliti pembangkang apabila asyik menyalahkan kerajaan terdahulu dalam sesuatu isu.

Hadir sama adalah Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi dan Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia, Shahril Hamdan. –HARAKAHDAILY 29/8/2019

- Advertisement -