GoJek: Gejala sosial, realiti Malaysia dan wang

- Advertisement -
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia meminta pihak kerajaan membuat penelitian terlebih dahulu dalam aspek pematuhan syariat terhadap keputusan untuk memperkenalkan GoJek di Malaysia.
 
Menurut Timbalan Ketuanya, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari, pelaksanaan GoJek yang ada sekarang tidak mematuhi syariat kerana tiada pengasingan antara penunggang dan pembonceng lelaki dan perempuan.
 
“Sekiranya ia dilaksanakan, ia boleh membuka ruang kepada pelanggaran syariat kerana berbeza dengan teksi dan Grabcar yang menggunakan kereta berbanding GoJek menggunakan motor.
 
“Adalah sangat berbahaya bagi seorang pembonceng wanita menaiki motosikal dengan penunggang lelaki. Kehormatan wanita juga tidak akan terjaga dan akan membuka ruang kepada perkara yang tidak diingini seperti ragut, gangguan seksual dan jenayah-jenayah lain yang kerap berlaku pada hari ini. 
 
Malahan, membonceng motorsikal sesama lelaki dan wanita bukan mahram boleh menimbulkan fitnah dan menyebabkan berlakunya percampuran yang boleh menyumbang kepada gejala sosial kian tenat dalam kalangan anak muda.
 
Jelas beliau, kerajaan perlu memahami konsep budaya yang berbeza di antara Indonesia dan Malaysia kerana suasana di Indonesia terlampau sibuk dan sesak di mana motosikal atau GoJek adalah satu-satunya kenderaan boleh digunakan untuk mempercepatkan masa.
 
Berbeza katanya, dengan Malaysia yang kesesakannya berlaku ditempat dan pada waktu tertentu sahaja.
 
Kata beliau, pihaknya bimbang pelaksanaan GoJek akan menyebabkan berlakunya kesesakan di jalan utama dan pastinya akan meningkatkan kadar kemalangan jalan raya melibatkan motosikal.
 
“Kerajaan seharusnya menawarkan peluang pekerjaan kepada anak muda yang sesuai dengan syariat dan budaya setempat. 
 
“Sebagai contoh, kerajaan memberikan inisiatif dan bantuan kepada IKS (Industri Kecil dan Sederhana) untuk mengembangkan perusahaan sekaligus menambah bilangan pekerja, atau membuka lebih banyak ruang dan peluang untuk anak muda memulakan perniagaan sendiri,” katanya.
 
Tambahnya, GoJek bukanlah penyelesaian bagi anak muda menjana pendapatan, malahan, ia sebenarnya lebih kepada membuka peluang kepada syarikat asing mengaut keuntungan melalui komisen daripada pemandu Gojek.
 
Meskipun begitu, pihaknya menyokong segala usaha kerajaan untuk menjana pendapatan dan meningkatkan produktiviti anak muda di Malaysia, namun usaha tersebut haruslah menepati syariat dan tidak membawa kepada kemaksiatan yang boleh merosakkan masa depan anak muda. – HARAKAHDAILY 29/8/2019
- Advertisement -