Kongres Kebangsaan atasi isu kemiskinan

- Advertisement -
PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) mencadangkan agar satu kongres kebangsaan dianjurkan untuk meneliti dan merumus resolusi baru bagi memperincikan pelbagai perkara mengenai isu kemiskinan di Malaysia. Kongres tersebut mestilah melibatkan semua pihak tanpa mengira pendirian politik supaya natijahnya lebih objektif. 
 
Isu kemiskinan mesti dilihat satu perkara yang signifikan di samping memacu negara ke arah sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi.    
 
Kongres kebangsaan bertemakan kemiskinan ini dicadangkan ekoran percanggahan perspektif mengenai statistik kemiskinan yang dinyatakan oleh kerajaan dengan laporan yang disediakan oleh Profesor Philip Alston (UN Special Rapporteur on Extreme Poverty and Human Rights) pada 23 Ogos 2019.
 
Hal ini juga boleh diselarikan dengan pelbagai gesaan yang timbul sebelum ini mengenai semakan semula Paras Garis Kemiskinan dan dasar afirmatif yang telah dipraktikkan sebelum ini. 
 
PAS berpendapat isu kemiskinan mesti dijadikan fokus utama supaya jurang kaya miskin antara bandar dan luar bandar termasuk antara kaum dapat diperbaiki. Selain itu, ia turut melibatkan perubahan polisi, peruntukan skim bantuan atau subsidi dan juga pengagihan zakat. 
 
Sekiranya pelbagai pihak boleh duduk berbincang bersama untuk menangani isu kemiskinan, maka majoriti rakyat akan beroleh manfaat.  
 
Sekian, terima kasih.     
 
TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS 
Ahli Parlimen Malaysia (Kubang Kerian) 
27 Zulhijjah 1440 | 28 Ogos 2019 – HARAKAHDAILY 28/8/2019
- Advertisement -