Jalur Gemilang terbalik perlu tindakan lebih keras

- Advertisement -

KOTA BHARU: Denda RM500 kerana kesalahan memasang Jalur Gemilang secara terbalik atau berwarna hitam putih dianggap tidak memadai.

- Advertisement -

Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan berkata, tindakan lebih keras perlu dikenakan terhadap pihak yang didapati sengaja melakukan perkara tersebut.

“Kerana itu jumlah denda yang dikenakan terhadap pelaku yang didapati bersalah sepatutnya lebih tinggi.

“Walaupun ada pemimpin parti tertentu kata tidak disebut sebagai satu kesalahan, bagi saya mereka sebenarnya bermain politik,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu selepas majlis penyampaian Jalur Gemilang percuma kepada orang ramai di sini petang semalam.

Baru-baru ini Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) mengenakan kompaun RM500 terhadap sebuah pusat pameran, jualan dan servis kenderaan di Sungai Isap yang didapati memasang Jalur Gemilang terbalik.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MPK, Norkamawati Kamal dilapor berkata surat amaran turut diberikan kepada pihak pengurusan premis terbabit untuk memastikan insiden berkenaan tidak berulang. – HARAKAHDAILY 28/8/2019

- Advertisement -