Wujudkan teksi motosikal Patuh Syariah

MUSLIMAT PAS prihatin dengan kehendak teksi motosikal di Malaysia memandangkan ianya dapat mengisi keperluan menambah pendapatan rakyat terutama golongan anak muda. Bahkan, ianya dijangka akan memberi kesan positif kepada sektor perdagangan dalam negeri, khususnya dalam ‘perdagangan edaran’ di mana ianya akan dapat meningkatkan produktiviti dari aspek logistik bagi peruncitan domestik. 
 
Muslimat PAS menyedari bahawasanya penggunaan khidmat teksi motosikal bukanlah perkara baharu kerana pelaksanaannya telah meluas sama ada yang berjenama seperti Gojek di Indonesia dan DegoRide di Malaysia (sebelum ianya dihentikan operasi), mahupun yang bersifat setempat seperti yang terdapat di kawasan luar bandar seperti di Rantau Panjang, Kelantan yang mana mempunyai modus operandi yang tersendiri. 
 
Oleh itu, Muslimat PAS ingin menyarankan beberapa perkara seperti berikut: 
 
a. Kerajaan perlu mempertimbangkan pelaksanaan khusus untuk wanita mengikut satu garis panduan patuh syariah bagi memastikan keselamatan penumpang, di samping meraikan budaya dan adat ketimuran Malaysia. Hal ini termasuk aspek pemeliharaan keselamatan dan kehormatan wanita dengan pengasingan penunggang dan penumpang teksi motosikal mengikut jantina, perlindungan insurans untuk keselamatan penumpang, ciri-ciri minimum keselamatan motosikal yang perlu ada, penetapan tambang yang telus dan munasabah dan lain-lain aspek membabitkan hak-hak pengguna dan pemberi perkhidmatan teksi motosikal.
 
b. Syarikat teksi motosikal tempatan seperti DegoRide harus diberi sokongan dan Muslimat PAS menyarankan agar DegoRide meneroka pasaran mesra wanita dengan menyediakan galakan dan kemudahan yang diyakini selaras dengan usaha meningkatkan penglibatan anak muda dan persaingan sihat dalam ekonomi. Mekanisme bagi memantau (tracking system) dan pelaporan kes-kes jenayah dan gangguan seksual serta risiko peningkatan kes penculikan dan kehilangan anak-anak dan remaja wanita perlulah diambil kira dalam pelaksanaannya.  
 
c. Pelaksanaan perkhidmatan teksi motosikal juga perlu selari dengan peningkatan kesedaran keselamatan jalan raya oleh pemandu teksi motosikal itu sendiri, serta pertimbangan pengguna jalan raya lain terhadap teksi motosikal.  Kita tidak mahu dengan terlaksananya perkhidmatan teksi motosikal, kadar kemalangan jalan raya yang melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal akan bertambah akibat sikap pemandu sendiri.  Kerajaan perlu mempertimbangkan kaedah yang dapat menggalakkan pemanduan berhemah oleh penyedia perkhidmatan teksi motosikal serta undang-undang yang dapat mengurangkan impak negatif daripada pelaksanaan perkhidmatan teksi motosikal ini.  
 
Justeru, Muslimat PAS sudi menawarkan khidmat nasihat daripada Briged Muslimat, salah satu entiti Muslimat PAS yang aktif dalam kerja-kerja amal dan keselamatan.
 
Demi memastikan keselamatan bersama, marilah kita sama-sama menghormati dan saling bantu-membantu di antara semua pengguna jalan raya yang bukan sahaja terdiri daripada pemandu motorkar, tetapi pengiktirafan harus diberikan kepada pejalan kaki, penunggang basikal dan beca demi kemaslahatan kita bersama. 
 
‘Islam Memimpin, Wanita Sejahtera’
 
YB SENATOR USTAZAH HAJAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat
Ahli Dewan Negara – HARAKAHDAILY 27/8/2019