Penangah perlu Balai Bomba – PAS Kinabatangan

- Advertisement -

KINABATANGAN: PAS Kawasan Kinabatangan menggesa Kerajaan Negeri Sabah melalui pihak berwajib segera memberi bantuan keperluan yang mendesak kepada mangsa-mangsa kebakaran di Kampung Stesen, Penangah, di sini.

- Advertisement -

Yang Dipertua PAS Kinabatangan, Innah Tuton berkata, seramai 170 mangsa dari 38 keluarga yang ditempatkan di dewan serbaguna, hidup dalam suasana yang tidak selesa dan serba kekurangan.

“Masalah utama yang terpaksa mereka hadapi adalah bekalan elektrik terputus dan bekalan air yang tidak mencakupi di dewan tersebut menyebabkan mereka sukar menjalani kehidupan seharian dengan baik.

“Keadaan ini telah memaksa hampir keseluruhan mangsa keluar dari penempatan sementara dan menumpang teduh di rumah saudara terdekat masing-masing. Dari 38 keluarga yang terlibat semasa ziarah pertama kami, kini hanya tinggal 10 keluarga sahaja yang masih kekal di dewan.

“Kita tidak mahu pihak kerajaan memberikan harapan kepada mangsa dengan menjanjikan perkara lebih besar sedangkan kemudahan kecil yang sangat diperlukan mangsa untuk meneruskan kelangsungan hidup ketika ini tidak diberikan,” tegas Innah.

Tambahnya lagi, bagi mengelakkan kejadian kebakaran besar ini berulang kembali, sebuah Balai Bomba perlu dibina dengan segera kerana dengan geografi kawasan Penangah termasuk beberapa tempat sekitarnya yang jauh dari pekan dan bandar.

“Kita difahamkan beberapa tahun yang lalu, mereka termasuk beberapa daerah sekitarnya telah memohon supaya kerajaan membina sebuah balai bomba di lokasi berdekatan namun tidak pernah ditunaikan.

“Namun kita percaya kerajaan baru ini akan berusaha sebaik mungkin untuk memberi perhatian terhadap keperluan masyarakat di Penangah khususnya,” ujar Innah lagi.

Desakan itu dilontarkan oleh beliau ketika ziarah kasih sayang dan menyampaikan sumbangan kali kedua kepada mangsa-mangsa berkenaan di lokasi kebakaran kelmarin. – HARAKAHDAILY 26/8/2019

IMG 20190826 WA0052

- Advertisement -