Konsep perpaduan ummah hadapi enam ancaman

Aminuddin Yahaya
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Konvensyen Perpaduan Ummah  Nasional menyaksikan enam ancaman yang dihadapi umat Islam untuk meneruskan konsep perpaduan ummah yang selama ini menjadi teras utama perpaduan di Malaysia.

- Advertisement -

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Aminuddin Yahaya berkata, suara-suara yang menghina Melayu dan Islam dilihat semakin lantang hari ini, malah suara-suara itu bergerak dengan licik sehinggakan impaknya tidak dirasai.

Lebih membimbangkan, perpecahan dikalangan umat Islam pula semakin melebar baik di dalam badan bukan kerajaan (NGO) mahupun individu.

Beliau dalam ucaptamanya menyenaraikan lima ancaman tersebut iaitu ancaman dari segi gerakan liberalisme, kristianisasi, gerakan hak asasi manusia, gerakan untuk meminda undang-undang, keadaan ekonomi yang meruncing, gerakan ekstremis, serta masa depan yang samar.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata ancaman utama kepada Islam di negara ini merupakan gerakan liberalisme yang dilihat semakin dipercayai sebagai fahaman Islam yang progresif selain menjadikan agama sebagai sesuatu yang boleh dijual beli seperti memberikan hak kepada individu untuk keluar masuk Islam iaitu murtad.

Gerakan tersebut turut menyentuh hal asas kepercayaan umat Islam iaitu Al-Quran dengan menolak asbabun nuzul, nasikh wal mamsukh, tafsiran Rasulullah, para sahabat, dan ahli-ahli tafsir.

Selain itu, agenda Kristianisasi juga dilihat sudah berani secara terang-terangan menyebarkan dakyah mereka, malah masih lagi berterusan menggunakan kalimah Allah walaupun mahkamah telah mengeluarkan keputusan untuk menghalangnya selain berusaha meneggugat Islam dengan percubaan menghapuskan ‘Islam’ di kad pengenalan dan lain-lain lagi.

Katanya, Gerakan Hak Asasi Manusia juga merupakan ancaman yang paling berani dan menonjol dengan mengambil pemikiran barat iaitu ‘nilai sejagat’ dan menolak nilai-nilai yang diperkenalkan agama seperti memperjuangkan hak LGBT.

Sementara itu, gerakan untuk meminda undang-undang seperti penghapusan hukuman mati mandatori, Akta Hasutan, serta Dasar Kebudayaan Kebangsaan dilihat sebagai satu langkah untuk meminggirkan kedudukan Raja-Raja, keistimewaan orang Melayu dan agama Islam.

“Kita yakin ini bukan terjadi secara tidak sengaja tetapi memang telah dirancang pihak tertentu untuk melemahkan kedudukan pribumi dan agama Islam, walaupun bantahan dibuat namun mereka masih berkeras mahu melaksanakannya,” ujarnya ketika menyampaikan ucaptamanya di Konvensyen Perpaduan Ummah Nasional di Kuala Lumpur International Hotel, di sini, semalam.

Selain itu, keadaan ekonomi yang meruncing turut menjadi ancaman selain gerakan ekstremis dan keadaan masa depan yang samar disebabkan oleh kemungkinan kepada perpecahan negeri-negeri di Malaysia dan pergolakan geopolitik dunia.

Turut hadir dalam majlis sama ialah bekas Yang diPertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hasan, Penasihat Persatuan Linguistik Malaysia, Prof Dato’ Dr Awang Saryan, Presiden Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan, Dato’ Abdul Rauf Husin, Setiausaha Agung Majlis Perunding Melayu (MPM), Dato Hasan Mad. – HARAKAHDAILY 26/8/2019

- Advertisement -