Lindungi pembantu rumah dari layanan buruk

- Advertisement -

KES ROGOL pembantu rumah warga Indonesia membabitkan Exco Kerajaan Perak yang telah didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, telah memberi mesej kepada masyarakat bahawa pembantu rumah tidak seharusnya diberi layanan buruk.

- Advertisement -

Dakwaan tersebut selain mengiringi siasatan, turut sama perlu dilakukan kajian dan tinjauan yang lebih menyeluruh supaya semua pihak mendapat perlindungan sewajarnya dan kejadian tidak lagi berulang.

Kita tidak mahu kes merogol amah tersebut menjadi cerminan yang menimbulkan anggapan negatif bahawa masyarakat Malaysia seolah-olah tidak menghiraukan maruah dan hak pembantu rumah asing.

Lebih malang kes tersebut dilakukan oleh seorang Exco Kerajaan sebagaimana yang didakwa oleh Mahkamah Sesyen Ipoh pada 23 Ogos lalu.

Walaupun kes tersebut belum diputuskan bersalah, namun ia telah mendapat liputan meluas kerana melibatkan warga asing yang bekerja di Malaysia.

Ini kerana kes seperti ini melibatkan hubungan dengan negara luar. Di mana, lebih 250,000 warga asing bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia.

Sebenarnya layanan buruk terhadap pembantu rumah asing, contoh Indonesia sering berlaku kerana kurangnya perlindungan undang-undang yang diberikan kepada pembantu rumah asing di Malaysia.

Sebelum kes ini, banyak berlaku kes penganiyaan terhadap pekerja asing antaranya, pembantu rumah berusia 24 tahun yang hanya mempunyai berat badan 26.1 kilogram ditemukan mati di di rumah kedai di Jalan Bukit Minyak, Bukit Mertajam, Pulau Pinang dengan 29 kesan kecederaan baharu dan lama pada tubuhnya serta mengalami dehidrasi teruk.

Majikan pembantu rumah tersebut, seorang suri rumah, Chin Chui Ling, 45, dan suaminya Soh Chew Tong, 48, pemilik kedai, masing-masing dihukum 10 tahun penjara bagi pertuduhan mengikut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan kerana membunuh tanpa niat Mey Sichan.

Lajnah Pekerja dan Pengguna PAS Pusat mencadangkan supaya mengetatkan undang-undang agar perlindungan juga diberikan kepada pembantu rumah asing di Malaysia.

Kerana Akta Pekerjaan 1995 yang ada pada dasarnya hanya melindungi pekerja, tetapi tidak pembantu rumah kerana mereka didefinisikan sebagai amah.

Manakala tempat kerja mereka dilihat sebagai tempat persendirian yang tidak tertakluk kepada pengawasan awam bagi memastikan hak buruh dan hak asasi pembantu rumah dilindungi.

Akibatnya, ramai majikan beranggapan mereka boleh berbuat sesuka hati terhadap pembantu rumah atau pekerja asing yang kebanyakkannya berakhir dengan tragedi. 

Bagi mengatasi kes rogol amah berulang, Kerajaan perlu mengetatkan pengambilan pekerja asing terutama pembantu rumah dengan syarat-syarat yang ditetapkan.

Contohnya, majikan lelaki tidak dibenarkan tinggal di rumah dengan pembantu rumah sahaja dan syarat ini tertakluk kepada semua agama dan bangsa di negara ini.

Manakala pembantu rumah perlu mematuhi syarat yang ditetapkan iaitu bagi mereka yang beragama Islam, mesti menutup aurat yang sempurna manakala bukan beragama Islam, berpakaian sopan.

Majikan beragama Islam tidak dibenarkan mengambil pembantu rumah berlainan agama begitu juga dengan majikan bukan Islam. 

Tempat atau bilik untuk mereka menunaikan ibadat perlu disediakan dan itu menjadi tanggungjawab majikan. Ini bagi memastikan hak buruh dan hak asasi pembantu rumah dilindungi.

YB SITI ZAILAH MOHD YUSOFF
Pengerusi
Lajnah Pekerja dan Pengguna PAS Pusat
Ahli Parlimen Rantau Panjang – HARAKAHDAILY 25/8/2019

- Advertisement -